Wednesday 19 September 2012

Renungan HATI kita


Tajuk : Kenapa kita cepat melatah/ mudah marah/ sensitif bila dikritik?

Rata-rata manusia mengakui tiada yang sempurna, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, tiada yang terlepas dari salah dan silap. Namun realitinya, kebanyakan manusia memang sukar menerima/mengakui kesilapan sendiri. Inilah satu penyakit yang berlaku di kalangan kebanyakan manusia; iaitu penyakit “Merasakan diri sentiasa benar”.

Apabila ditegur kita telah melakukan kesilapan, ‘perkara ini salah’, ‘jangan buat begini’ lazimnya kita terus menjawab tanpa terlebih dahulu kita mendengar dan meneliti teguran yang disampaikan. Lazim timbul perasaan kurang senang dalam diri akan teguran tersebut. Apatah lagi jika teguran itu berkaitan dengan amalan yang telah sebati kita lakukan atau teguran itu terkena pada guru kita atau fahaman yang kita pegang. Bersabda Nabi saw:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik kesilapan adalah mereka yang bertaubat.”

(Hadits hasan diriwayatkan oleh Imam Ahmad.)


Mengapa kita cepat melenting bila ditegur? Mengapa kita terlalu sensitif dalam membincangkan isu-isu yang ditegur? Mengapa kita cepat berang hingga akhirnya menimbulkan permusuhan/bermasam muka sesama kita?

Kita sedar ilmu manusia itu serba kekurangan, boleh berlaku kesilapan. Percaturan manusia ada ketikanya benar, ada ketika tersasar. Hanya Rasulullah saw yang maksum. Namun realitinya kita bersikap seolah-olah kita sentiasa benar. Teguran yang diberikan, hujah yang disampaikan hanya didengar sebelah telinga tanpa kita perhatikan mesej yang cuba disampaikan…apakah ia benar atau tidak? Tanpa kita cuba menilai terlebih dahulu kebenaran sesuatu teguran, kita terus membangkang dan terus membangkang, membantah dan terus membantah berdasarkan kefahaman dan emosi kita tanpa kita cuba menimbangkan pro dan kontra teguran tersebut. Cuba kita hayati pesanan Rasulullah di bawah:

قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّحُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً؟ قَالَ: إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقُّ وَغَمْطُ النَّاسِ.

"Seorang lelaki bertanya (Rasulullah saw.): “Bagaimana seorang yang suka memakai baju dan kasut (yang) baik ? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan suka meremehkan orang lain.”

(Riwayat Muslim)

Mengakui kesilapan dan berusaha memperbaiki kesilapan adalah sifat yang mulia. Ia tidak merendahkan darjat. Ia tidak menjatuhkan air muka. Malah ia mencerminkan akhlak yang mulia bahawa manusia itu sememangnya makhluk yang lemah serba kekurangan, tidak sunyi dari kesilapan namun disebalik kekurangan dan kelemahan itu, ia berusaha memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik. Setiap masa setiap ketika ia belajar dari kegagalan, belajar dari kesilapan.

Tak salah merasa yakin kita di pihak yang benar jika sememangnya kita di pihak yang benar, sememangnya wajar kita mempertahankan kebenaran tersebut walau masyarakat sekeliling mengatakan kita salah. Namun bagaimana jika kita di pihak yang salah tapi kita merasakan kita benar?

Jika yang diperselisihkan itu berkaitan dengan urusan agama, maka berpeganglah pada apa yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul saw yang shahih. Pastikan setiap keyakinan kita, amalan ibadah kita benar-benar secocok dengan maksud Al-Quran dan pengamalan Rasulullah saw. Al-Quran itu selamanya tidak akan salah tapi pemahaman manusia tentang maksud ayat Al-Quran itu boleh disalah tafsirkan. Kerana itu perlu
kita pastikan tafsiran dari ayat Al-Quran itu benar datangnya daripada Rasulullah kerana mengikut Rasulullah itu sememangnya tidak akan membawa kepada jalan yang salah. Bagaimana untuk kita pastikan sesuatu tu betul datang dari Rasulullah? Iaitulah dengan kita mengambil riwayat yang shahih atau hasan. Tinggalkan riwayat-riwayat yang lemah atau yang menyalahi hadis-hadis yang shahih kerana diragukan benarnya ia bersumberkan daripada Rasulullah, apatah lagi jika hadit itu hadis maudhu’ (hadis palsu). kita perlu sandarkan kepada qoul ulama’ yang bersandarkan pada hujjah dan dalil yang soheh dan jelas.

Jika yang diperselisihkan itu berkaitan urusan keduniaan yang tidak menyalahi syara’ maka ambillah jalan terbaik yang mampu kita lakukan. Mungkin bagi orang lain keputusan itu tidak tepat, kurang bernas namun kita yakin inilah pilihan terbaik, maka teruskanlah. Jika kita tersilap dalam percaturan, jangan teragak-agak jangan malu untuk mengakui kesilapan dan memperbetulkan kesilapan.

Jika teguran yang diberikan benar, maka tak perlu malu untuk mengakui kesilapan kita, terima kasih atas teguran. Dan sekiranya teguran itu tidak benar, jangan kita mencemuh merendah-rendahkan orang yang menegur tapi bersikap bijaklah dalam memperbetulkan kekeliruannya.

(Ihsan b Idris. Email: ihsan.idris@yahoo.com)
Oleh : Ustaz Ihsan B Idris, Ketua Jabatan Usuluddin IPTIPs.

Jagalah SOLATmu...


Salam sejahtera kepada semua umat Nabi Muhammad S.A.W sekalian. Semoga di bawah lindungan rahmat Allah. Semoga kita termasuk di dalam golongan yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.

Kali ini marilah kita sama-sama menghayati satu suruhan Allah yang diperintahkan untuk dikerjakan oleh hambaNya iaitu solat. Solat ialah amalan yang mudah dilakukan tetapi sangat susah ditunaikan oleh umat Islam pada masa sekarang. Ini kerana ramai yang menganggap bahawa solat adalah amalan yang remeh sedangkan solat ialah ibadat wajib yang perlu ditunaikan. Malah solat juga adalah rukun Islam yang kedua.

Sebagai umat Islam yang yang mengucap dua kalimah syahadah, kita wajib menunaikan solat. Ini kerana solat merupakan amalan yang diperintahkan oleh Allah S.w.t semasa peristiwa Isra’ dan Mikraj. Solat yang asalnya 50 rakaat telah dikurangkan kepada 5 rakaat atas permintaan Baginda Rasulullah S.a.w.

Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda :...(selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”


( Hadith riwayat Bukhari )

Mengapa kita harus menjaga solat? Ketahuilah, bahawa solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat kelak. Jika solat kita sempurna, berbahagialah kita di sana. Jika tidak sempurna, kita akan menerima balasan yang setimpal. Solat juga dapat menutup kekurangan kita pada amalan-amalan yang lain.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Semasa menunaikan solat, segala rukun harus ditunaikan sesempurna mungkin. Rugilah jika kita bersolat hanya sekadar sambil lewa sahaja. Ini kerana ketika solatlah kita berhubung dengan Maha Pencipta. Ketika di dalam rukuk dan sujudlah kita mengabdikan diri kepadaNya.

Firman Allah: “Sesungguhnya Aku adalah Allah. Tidak ada Tuhan selain Aku. Sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”. (Thaahaa: 14)

Seharuslah kita sedar kepentingan menjaga solat. Solat mempunyai banyak kelebihan yang kita sendiri tidak terhitung. Solat juga akan menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu. Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.” (Hadith Riwayat Muslim)

Diingatkan lagi mengapa harus kita menjaga kewajipan yang satu ini. Solat dapat mencegah kita daripada perbuatan yang mungkar. Solat dapat menghapus dosa-dosa yang lalu selagi mana kita tidak melakukan dosa besar. Dengan menunaikan solat, ia dapat menghalang kita daripada melakukan perbuatan yang mungkar.

Firman Allah: “Bacalah (selalu) Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu! Dirikanlah solat! Sesungguhnya solat itu menghalang perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingat Allah lebih besar (faedah dan kesannya). Dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”. (Al-Ankabut: 45)

Nabi S.a.w pernah bersabda bahawa bahawa kanak-kanak yang berusia sepuluh tahun boleh dipukul jika tidak mahu bersolat. Tetapi bagaimana pula jika orang dewasa juga tidak mahu solat. Apakah mereka tidak merasa malu kerana tidak menunaikan perintah Allah. Tidakkah mereka merasa kerdil di sisi Allah. Allah telah memberikan begitu banyak nikmat kepada hambaNya, tetapi apakah hambaNya tidak dapat membalas rasa syukur dengan bersolat? Sesungguhnya hamba tersebut seorang yang sangat tidak bersyukur dan tanpa rasa malu menghirup nikmat yang Allah berikan, dan tidak mahu menzahirkan rasa syukur tersebut dengan solat.

Jadi sebagai hambaNya, marilah kita sama-sama menunaikan solat sebagai tanda kita bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan. Solat itu tanda kita mendapat rahmat dari Allah, dan kita bersyukur ke atasnya. Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya:” Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Riwayat Bukhari)

Dan ingatlah pula, selain menjaga solat, kita juga hendaklah menjaga tingkah laku kita.

Dari Ibnu ‘Umar r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak diterima solat seseorang tanpa suci dan tidak diterima sedekah yang berasal daripada kejahatan (seperti mencuri, menipu, menggelapkan wang, merompak, judi dan sebagainya)” (Muslim)

Allah telah menjanjikan balasan yang setimpal jika kita tidak menjaga solat. Di antaranya kita akan dibangkitkan seperti babi hutan yang hitam di hari Kiamat. Sewaktu di dalam kubur, seekor ular yang hitam akan membelit kita sehingga hancur tulang belulang kita.

Ada satu kisah tentang orang yang meninggalkan solat.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, kemudian datang pemuda Arab masuk ke dalam masjid dengan menangis. Apabila Rasulullah S..A.W melihat pemuda itu menangis maka baginda pun berkata,

"Wahai orang muda kenapa kamu menangis?"

Maka berkata orang muda itu, "Ya Rasulullah S.A.W, ayah saya telah meninggal dunia dan tidak ada kain kafan dan tidak ada orang yang hendak memandikannya."!

Lalu Rasulullah S.A.W memerintahkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. ikut orang muda itu untuk melihat masalahnya. Setelah mengikut orang itu, maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a. mendapati ayah orang mudah itu telah bertukar rupa menjadi babi hitam, maka mereka pun kembali dan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W,

"Ya Rasulullah S.A.W, kami lihat mayat ayah orang ini bertukar menjadi babi hutan yang hitam."

Kemudian Rasulullah S.A.W dan para sahabat pun pergi ke rumah orang muda dan baginda pun berdoa kepada Allah S.W.T, kemudian mayat itu pun bertukar kepada bentuk manusia semula. Lalu Rasulullah S.A.W dan para sahabat menyembahyangkan mayat tersebut. Apabila mayat itu hendak dikebumikan, maka sekali lagi mayat itu berubah menjadi seperti babi hutan yang hitam, maka Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada pemuda itu,

"Wahai orang muda, apakah yang telah dilakukan oleh ayahmu sewaktu dia di dunia dulu?"

Berkata orang muda itu, "Sebenarnya ayahku ini tidak mahu mengerjakan solat."

Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, "Wahai para sahabatku, lihatlah keadaan orang yang meninggalkan sembahyang. Di hari kiamat nanti akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T seperti babi hutan yang hitam."

Di zaman Abu Bakar r.a ada seorang lelaki yang meninggal dunia dan sewaktu mereka mengadakan solat jenazah untuknya. Tiba-tiba kain kafan itu bergerak. Apabila mereka membuka kain kafan itu mereka melihat ada seekor ular sedang membelit leher mayat tersebut serta memakan daging dan menghisap darah mayat. Lalu mereka cuba membunuh ular itu.

Apabila mereka cuba untuk membunuh ular! itu, maka berkata ular tersebut, "Laa ilaaha illallahu Muhammadu Rasulullah, mengapakah kamu semua hendak membunuh aku? Aku tidak berdosa dan aku tidak bersalah. Allah S.W.T yang memerintahkan kepadaku supaya menyeksanya sehingga sampai hari kiamat."

Lalu para sahabat bertanya, "Apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mayat ini?"

Berkata ular, "Dia telah melakukan tiga kesalahan, diantaranya :

1.Apabila dia mendengar azan, dia tidak mau datang untuk sembahyang berjamaah.

2.Dia tidak mahu keluarkan zakat hartanya.

3.Dia tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

Maka inilah balasannya. (Sumber : http://jaipk.perak.gov.my/ : Portal rasmi Jabatab Agama Islam Perak)

Harus diingatkan, tiada alasan untuk meninggalkan solat kecuali dua perkara. Pertama : perempuan yang didatangi haid dan kedua : orang yang tidak waras. Tetapi realitinya sekarang kita dapat melihat ramai lelaki yang perempuan yang tidak solat. Apakah sekalian lelaki tersebut didatangi haid ataupun telah menjadi gila, dan kerana itu dia tidak mampu melakukan solat? Dan bagaimanakah pula dengan sebahagian kaum perempuan yang tidak solat, adakah mereka didatangi haid buat selama-lamanya atau menjadi gila juga?

Solat harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun walaupun ketika sakit. Sabda Rasulullah S.a.w: “ Solatlah sambil berdiri. Jika tidak sanggup, boleh duduk. Jika tidak sanggup juga, boleh sambil berbaring”. (Hadith Riwayat Bukhari)

Jadi wahai sekalian umat Nabi Muhammad, tiada alasan untuk kita meninggalkan solat walaupun kita sakit. Solatlah walau di mana juga kita berada. Janganlah memberikan pelbagai alas an untuk tidak menunaikan solat. Sabda Rasulullah S.A.W : “Meninggalkan solat adalah unsur yang membezakan antara seorang Muslim dan seorang kafir”.



Sumber: KedahLanie

Saya Sibuk Sangattt...??





“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”.

Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Saya yakin memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat?

Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12)

“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Hari Ini Dan Hari Semalam

Sewaktu kita membuka mata hari ini, jangan terlalu yakin dapat melihat matahari pada esok hari. Bersyukurlah kepada Tuhan kerana masih diberikan peluang untuk melihat keindahan ciptaanNya dan seterusnya dapat bernafas untuk hari ini. Sesungguhnya ini adalah kerana Tuhan masih sayangkan kita kerana diberi peluang untuk hidup dan membolehkan kita memperbaiki diri berbanding hari semalam.

Semalam telah berlalu, biarkanlah ia pergi. Jangan ditangisi hari semalam kerana ia tidak mungkin datang kembali. Namun bersyukur lah kepada yang memenuhi hari semalam dengan amalan kerana esok hari belum tentu kita dapat mengulangi lagi. Jalani hidup sebaik mungkin dan manfaatkan hari ini sebaik-baiknya. Penuhi dengan amalan dan tanggungjawab terhadap orang-orang yang kita sayang. Sesungguhnya hari esok belum tentu kita dapat mengembirakan meraka.

Hari ini adalah anugerah dari Tuhan, tanamkan tekad, perbaiki diri sebaik mungkin. Hiasi hari ini dengan amalan-amalan, membaca dan memahami isi kandungan Al-Quran. Renungi kehidupan ini dengan sepenuh hati. Kehidupan hari ini adalah kerana limpah kasih sayangNya. Tanamkan kebaikan sebanyak mungkin untuk hari ini, mintalah keampunan dari Allah s.w.t dan persiapkan diri untuk pergi jauh (menghadapNya). Lalui hari ini dengan penuh kebahagiaan, tenang dan redha dengan apa yang telah dikurniakan.

Dengan mempersiapkan diri dan melakukan perkara-perkara itu, kita akan sentiasa tenang dan bahagia. Seandainya kita diberikan peluang untuk menikmati segelas air yang sejuk dan nyaman, mengapa harus kita bersedih atas air masin yang telah kita minum semalam? Tanamkan dalam diri bahawa kita telah diberikan peluang untuk hidup sehari lagi, iaitu hari ini mungkin juga esok dan seterusnya.

Hidup ini adalah sebuah perjalanan, diuji untuk melihat sejauh mana kekuatan dan keimanan. Sejauh mana kita mengutamakan hawa dan nafsu atau mengawal diri dari diruntun oleh kemanisan dan keindahan duniawi. Kadangkala kita dipesongkan oleh hawa nafsu dan godaan sehingga kita lupa apa yang kita pertahankan selama ini. Nafsu yang kadangkala membuatkan kita melanggar batas-batas yang sepatutnya dan membuatkan mata hati kita kabur dan silap menilai kehidupan dunia ini.

Maka, perbanyakkan amal ibadat dan jauhkan diri dari maksiat. Sentiasa perbaiki dan musahabah diri. Isilah hidup dengan amal-amal bakti sebelum sampai ajal yang kita sendiri tidak ketahui masa datangnya.

Tuesday 18 September 2012

Berdamailah dengan TAKDIR



Rasulullah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini,


"Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata."

Mengapa? kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.


Kita tidak mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tabi'e nya.
Apabila berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress, marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.


Bayangkan kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu. Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya. Akur kepada Pencipta senja.


Ironinya, sikap kita tidak begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita. Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak mahu menerima semua itu seadanya?


Berusahalah dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah. Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri

"Aku harap yang baik, Allah akan memberi yang baik."






Jika yang diharapkan berlaku, maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.


Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita, mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.




Tuesday 11 September 2012

Ramadhan Yang Lalu

بسم الله الرحمن الرحيم


Oleh kerana bulan Ramadhan sudah pergi, maka pagi ini kenalah kita menyambut kedatangan Aidil Fitri walaupun berhari raya dan bergembira itu bukannya layak bagi kita. Pernah seorang salafussoleh tidak merayakan Hari Raya dengan alasan dia tidak berjaya dalam mujahadatunnafsi sepanjang Ramadhan yang berlalu. Maka bagi kita pula marilah kita bersyukur di pagi ini kerana pintu taubat masih terbuka untuk kita. Rayakan Aidil Fitri ini dengan bertaubat sebanyak-banyak taubat. Kemudian sembahyang, berdoa, berzikir, tasbih, tahmid dan takbirlah sebanyak-banyaknya. Bolehlah bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan saling berziarah tapi jangan sampai berketawa ria dan berpesta menjamu selera hatta berpoya­-poya. Semuanya itu sangat menggemuk dan merangsangkan nafsu untuk lebih menuhani kita.
Bulan Ramadhan sudah pergi meninggalkan kita maka selesailah sudah puasa dan ibadah kita selama sebulan mari sama-sama kita renungkan apakah hasil yang kita dapat daripada Ramadhan tahun ini. Sebulan kita berpuasa. Puasa ertinya mengekang nafsu. Bukan saja nafsu makan dan nafsu seks tapi juga nafsu yang jahat jahat, yang difirmankan oleh Allah dalam Al Quran: Sesungguhnya nafsu Amarah itu sangat mengajak kepada kejahatan. (Yusuf 53)

Di antara nafsu yang jahat itu ialah sombong, takabbur, pemarah, bakhil, hasad dengki, gila dunia, ujub, riak, gila kuasa, dendam, buruk sangka, bohong, mengampu, keluh kesah, gopoh gapah, tidak redha, tidak sabar dengan takdir, mementingkan diri sendiri, tamak, degil, tidak tolak ansur, tidak timbang rasa, mencerca, mengumpat dan lain-lain lagi.

Nafsu-nafsu ini sentiasa ada malah sudah menjadi perangai tetap kita. Sepanjang bulan puasa, adakah kita berpuasa dari mengikut kehendak-kehendak nafsu itu? Adakah kita lawan rasa ujub yang mengajak kita menuhankan diri sendiri. Lawan rasa riak yang dengannya membuatkan orang iri hati dengan kita. Lawan sifat sombong, takabbur dan ego yang kerananya orang tersinggung dan kecil had dengan kita. Lawan sifat bakhil yang adanya membuatkan orang benci dengan kita. Lawan sikap tidak sabar dan keluh kesah dan gopoh gapah yang selalu membuatkan orang cacat hati dengan kita. Lawan sifat tidak redha yang selama ini membuatkan kita tidak puas dengan ketentuan Allah. Lawan sifat tidak bertimbang rasa yang kerananya boleh menjadikan orang kecewa dengan kita.

Lawan sifat suka berdusta, yang membuatkan hilang kepercayaan orang kepada kita. Lawan sifat mementingkan diri sendiri yang selama ini membuatkan orang sakit had dan dengki dengan kita. Lawan perangai suka mengumpat dan mencerca orang yang boleh menghilangkan ukhwah lslamiah antara kita. Itulah mujahadatunnafsi (melawan hawa nafsu). Satu amalan yang hukumnya fardhu ain bagi setiap kita. Ertinya melawan hawa nafsu ini wajib kita lakukan, setiap masa, setiap ketika. Lebih-lebih lagi di bulan puasa. Sudahkah kita melakukannya dan sudahkan kita mendapatkannya.

Sepatutnya sudah lama kita mempunyai akhlak yang baik yakni memiliki sifat-sifat mahmudah. Sebab bukan baru sekali kita berpuasa yakni melakukan latihan mujahadahtunnafsi ini. Sudah berpuluh tahun umur kita. Maknanya sudah berpuluh-puluh kalilah kita berpuasa dan melatih diri untuk melawan hawa nafsu. Kalaulah latihan itu dibuat dengan betul, tentu hasilnya sudah kita memperolehi. Tapi bagaimana perangai kita di saat ini?

Ujub masih bersarang dalam hati setiap kita. Hingga kita rasa diri kita ini istimewa. Rasa ketuanan bahkan rasa keTuhanan. Kerana itu kita tidak rasa pun yang kita ini hamba. Hamba Allah yang hina dina, papa kedana, bodoh jahil, miskin melarat dan lemah serta kurang segala-galanya. Riak yakni menunjuk-nunjuk kelebihan dari samada kelebihan ilmu, kekayaan, darjat, bintang penghormatan masih menjadi kebanggaan hingga ramailah yang cemburu dan iri hati dengan kita. Ego, sombong, bongkak takabbur sudah sebati sungguh dengan perangai kita, hingga menjadi adat resam dan basahan harian. Sudah berapa banyak sikap dan cakap kita melukakan hati dan memalukan serta menjatuhkan maruah kawan. Hingga kerana itu manusia bawa hati dan bawa diri pergi jauh dari kita. Rengganglah kasih sayang, rosaklah perpaduan, walaupun mulut memekik-mekik perpaduan ummah. Bakhil jadi mainan kita. Rezeki yang Allah lebihkan kepada kita, kita catu­-catukan untuk diri dan klik sendiri saja. Hinggakan orang lain rasa terhina dan benci dengan kita. Maka jadilah kita keluh kesah dan gopoh-gapah membuatkan orang cacat hati dan rimas dengan kita. Tidak timbang rasa dan tidak tolak ansur masih menjadi prinsip hidup kita.

Kita rasa kita sajalah yang betul, yang pandai. Orang lain tidak perlu dan tidak berguna. Tidak payah dijaga perasaannya. Al hasil berapa ramai orang yang sudah kecewa dan putus harap dengan kita. Sifat mementingkan diri sendiri masih berakar umbi dalam tindakan kita. Kita hanya fikir kepentingan kita hingga tergamak mengorbankan kepentingan orang lain. Maka kerana itu sudah ramai kawan kita sakit hati bahkan dengki dengan kita. Mengumpat, mencerca dan mengata adalah amalan tetap kita. Kelemahan dan kesilapan kawan kita ambil sebagai modal untuk menghina dan menjatuhkannya.

Akibatnya ukhwah antara kita remuk-redam hancur berkecai. Pemarah, keras hati, degil, keras kepala adalah budaya hidup kita. Habis kita rempuh orang atas dan orang bawah kita. Hatta anak isteri pun tidak rasa bahagia dengan kita. Maka yang benci pada kita bukan saja musuh tapi termasuk juga isteri yang kita sayangi. Jahat sangka, mengadu domba, mengampu dan berdusta juga adalah tabiat asal yang masih jadi asam garam dalam amalan kita. Yang semuanya hanya akan membinasakan din kita dunia dan akhirat.

Firman Allah: Demi jiwa serta penyempurnaannya. Lalu diilhamkan Allah kepadanya (jalan) yang salah dan (jalan) yang benar. Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan (jiwa)nya. Rugilah orang yang mengotorkannya. (As Syams: 7-10)

Firman Allah lagi: Adakalanya orang yang berpuasa tapi tidak mendapat apa-apa pahala dari puasanya selain lapar dan dahaga.

Kenapa terjadi demikian? Jawabnya ialah kerana Iman kita lemah dan tidak bersungguh-sungguh melakukan mujahadatun­nafsi. Bila hati tidak terasa benar-benar kehebatan Allah, maka rasa cinta, rasa malu, rasa takut, rasa gentar pada Allah dan rasa diawasi selalu oleh Allah tidak menguasai had dan fikiran kita, maka hati kita mudah dimasuki rasa-rasa lain seperti ujub, sombong, riak dengki, bakhil, putus asa, hampa kecewa iaitu bergantung pada situasi yang kita hadapi.

Ketika kita dipuji orang kerana sesuatu kejayaan, hati kita tidak terasa yang pujian itu sepatutnya untuk Allah, kerana kejayaan yang kita perolehi itu adalah pemberian ALLAH Sebaliknya hati kita berbunga dengan pujian itu samada sedar atau tidak datanglah rasa hebat diri dan ujub pada hati, yang kemudiannya dilahirkan pada sikap dan anggota lahir kita. Tapi hati yang berisi kental, setiap pujian diterimanya dengan perasaan malu pada Allah, sebab Allah lah yang memberi nikmat itu padanya. Dirasainya dirinya hanya hamba yang hina-dina, miskin melarat dan jahil sejahilnya di sisi Allah SWT. Maka dengan itu selamatlah hatinya daripada tipuan hawa nafsu dan syaitan.

Nyatalah sudah bahawa kita tidak mendapat apa-apa pun dari Ramadhan-Ramadhan yang datang dan pergi selama ini. Puasa tapi sebenamya tidak berpuasa. Inilah agaknya yang dimaksudkan oleh Rasulullah dengan sabdanya: Ketika orang yang mengejinya atau ketika kesusahan menimpanya, orang yang hatinya kuat dan sentiasa dengan Allah akan segera teringat ujian itu juga pemberian Allah. Allah bermaksud hendak menghapuskan dosanya atau mengangkat darjatnya. Kerana ujian itu diterima dengan sabar dan redha. Kerana itu hatinya tidak dapat dimasuki rasa putus asa, kecewa dan menderita dan lain-lain mazmumah. Begitulah kemampuan Iman. Dia boleh menyelamatkan had dari ditipu daya oleh hawa nafsu dan syaitan. Sebaliknya kalau Iman tidak terasa di hati, had tidak berisikan rasa cinta dan takut pada Allah. Maka walau siapapun kita tentu tidak boleh selamat dari kejahatan nafsu dan syaitan seperti ujub, sombong, bakhil, riak dan lain-lain.

Untuk mendapatkan Iman kita mesti sedar akan kebesaran Allah, kegagahan-Nya dan kekuasaan-Nya. Renungkan ciptaan dan pentadbiran Allah yang Maha dahsyat dan hebat. Dan siapa kita? Hanyalah setitis air mani yang diproses dengan diraut-raut dan dibentuk-bentuk mengikut kehendak-Nya. Dan alangkah agungnya Tuhan. Maka takut, gerun dan gentarlah hati terhadapnya. Rasailah yang kita hanya hamba. Hamba yang boleh dipandai dan dibodohkan. Dikaya dan dimiskinkan. Dimuliakan dan dihinakan.

Sebagaimana firman Allah: Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani. Kemudian menjadikan kamu berpasang-pasang. (Faathir: 11)

Firman-Nya lagi: Engkaulah yang memberi kekuasaan pada siapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang rnemuliakan dan rnenghinakan. Pada kekuasan-Mu itulah kebaikan. Sesungguhnya Engkau pada setiap sesuatu Maha Berkuasa. (Ali Imran: 26)

Segala yang ada pada kita hanyalah amanah dan simpanan yang akan dituntut semula di Yaumil Mahsyar. Kalau begitu tiada apa­apa istimewanya kita ini. Jadi bagaimana kita boleh pandang rendah, menengking, mengherdik dan membenci orang lain? Bagaimana boleh sewenang-wenang dengan harta kekayaan di dunia? Bagaimana boleh membanggakan dan rasa selamat dari hukuman Allah? Bagaimana kita boleh berleluasa menggunakan kuasa kita? Bila terbuat dosa, maka hati yang beriman akan segera teringat dahsyatnya api neraka. Tergambar di ruang mata bagaimana nanti malaikat yang garang dan sombong akan menyergah dengan bengisnya, menginjak-ginjak dengan kerasnya dan menyiat-yiatnya daging-daging kita lantas dicampakkan dan dijunamkan jauh jauh ke neraka. Maka api pun menyambar kita bagai menyambar daun kering, membakar hati kita dan dalam seluruh badan kita. Begitulah kesakitan dan kehinaan yang terpaksa ditanggung akibat di dunia menyimpan dan melayan mazmumah.

Firman Allah: Terjemahannya: Dan ingatlah hari ketika orang kafir dihadapkan pada neraka, dikatakan pada mereka bukankah azab itu benar? Mereka menjawab, ya benar, demi Tuhan kami. Allah berfirman maka rasakanlah azab ini disebabkan kamu selalu engkar. (Al Ahqaaf. 34)

Segala kesombongan, bakhil, degil, tamak dan gila dunia pasti dibalas dengan kesombongan dan kedegilan serta kekasaran juga di akhirat nanti. Tetapi sekiranya kita bersusah-payah di dunia kerana melawan mazmumah tadi, menghina dm, mementingkan orang lain, memaafkan, mengorbankan harta kerana Allah dan di jalan Allah, maka kesusahan yang sementara itu akan dibalas dengan nikmat yang kekal abadi. Allah berjanji untuk menganugerahkan ganjaran istimewa pada orang-orang yang bersusah payah di dunia kerana Allah. Syurga itu seluas langit dan bumi, dibuat daripada emas permata, intan berlian. sejenis buah di Syurga mempunyai bermacam-macam rasa. Bau sekuntum bunganya berjenis jenis wangian. Air-air minuman mengalir menjadi sungai. Dan perhiasan-perhiasan di dalamnya bersangatan indahnya. Begitu sekali Allah akan bayar segala pengorbanan yang kita tanggung, kerana bermujahadah pada jalan Allah.

Firman-Nya: Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-­orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan membuat kerosakan di (muka)burni. Dan kesudahan yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Al Qasas: 83)

Bila rasa cinta pada Allah, rasa takut dan gerun dengan neraka Allah dan rindu dengan syurga Allah sudah benar-benar masuk ke hati, maka ia akan mendisplinkan dan mengawal serta mendorong kita terhadap tindakan-tindakan kita. Setiap kali terbuat dosa akibat dorongan nafsu mazmumah tadi maka rasa takut pada neraka akan membuat kita bertaubat sesungguh hati, yakni taubat Nasuha. Kita cemas kalau-kalau kesilapan itu berulang kerana itu kita merayu pada Allah mengharapkan pertolongan-Nya untuk kita melawan nafsu kita. Hati sentiasa ingin membuat amal soleh sebanyaknya dengan harapan Allah mengurniakan rahmatNya yakni syurga. Segala mehnah dari Allah diterima sebagai penghapusan dosa atau peluang naik pangkat di sisi Allah SWT kerana itu, diterimanya dengan sabar dan redha. Tiada keluh kesah dan kekecewaan dalam hidup, kejahatan lahir mahupun batin dicuba elakkan sedaya upaya. Dan masing-masing berlumba-lumba membanyakkan amal soleh, memberi khidmat dan membuat kebaikan.

Mujahadatunnafsi mestilah dibuat atas dasar cintakan Allah, gerun dengan nerakaNya dan rindu pada syurga. Setiap kali nafsu kita merangsang untuk melakukan sesuatu kejahatan dan dosa­-dosa maka ingatkan pada kemurkaan Allah, ugut dengan api neraka dan bisikan padanya nikmat syurga. Moga-moga dia ingat. Tapi jika masih terbuat lagi, bertaubatlah. Rasa kesal dan takut sungguh-sungguh dalam hati.

Ingatlah hadis Qudsi yang bermaksud: Allah lebih menyukai rintihan orang yang bertaubat daripada zikir para wali.

Kalaulah mujahadatunnafsi ini diulangi, buat setiap hari, maka hasilnya nanti perangai kita akan bertukar dari mazmumah kepada mahmudah. Dari dosa kepada pahala. Dari huru hara kepada harmoni dari sombong kepada tawadhuk. Dari bakhil kepada pemurah. Dari tidak berperikemanusiaan kepada bertimbang rasa. Daripada kemurkaan Tuhan kepada maghfirahNya.

Bila ini terjadi, yakni segala mahmudah telah menjadi perangai kita semua, maka bukan kita saja yang baik dan selamat. Tapi masyarakat dan negara dengan sendirinya menjadi baik dan selamat, aman dan makmur serta mendapat keredhaan Allah SWT. Inilah yang Allah kehendaki dari firman-Nya: Negara yang aman makmur mendapat keredhaan Allah. (Saba’ : 15)

Tetapi sebaliknya bila individu dalam masyarakat dan negara itu jahat zahir dan batinnya maka jadilah apa yang terjadi dalam masyarakat kita ini. Krisis demi krisis. Perpecahan demi perpecahan. Ukhwah remuk-redam, hancur berkecai. Percampuran bebas muda-mudi hingga di upacara agama pun masih menjadi jadi. Perkataan bersih, cekap dan amanah bukan kata-kata keramat lagi. Perzinaan dan rogol masih berleluasa hingga di kawasan kawasan masjid, rumah Allah pun terjadi. Arak dan dadah masih merupakan najis-najis yang belum dapat dibersihkan lagi. Rasuah selaku peras ugut terhormat seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Penyalahgunaan kuasa sudah menjadi tradisi para penguasa. Kata mengata, fitnah memfitnah menjadi basahan harian. Kejahatan sendiri sudah tidak nampak lagi, tapi kesalahan orang lain walau kecil sekalipun diperbesar-besarkan. Ahli-ahli agama berbagga dengan kelulusan serta menakut-nakutkan rakyat dengan jawatan. Tiada pimpinan tunjuk ajar dan didikan yang berhikmah dan berkasih sayang ke arah menegakkan hukum Allah. Sebab itu mereka tidak dihormati. Tegasnya masyarakat kita belumlah boleh dikatakan masyarakat yang bahagia yang aman makmur dan mendapat keampunan dari Allah. Yang ada hanyalah pembangunan dan kemajuan kebendaan, itupun bukan milik mutlak umat Islam.

Firman Allah: Terjemahannya: Akan ditimpa kehinaan di mana saja kamu berada kecuali kamu melakukan habluminallah dan hablumminannas. (Ali Imran: 112)

Oleh kerana bulan Ramadhan sudah pergi, maka pagi ini kenalah kita menyambut kedatangan Aidil Fitri walaupun berhari raya dan bergembira itu bukannya layak bagi kita. Pernah seorang salafussoleh tidak merayakan Hari Raya dengan alasan dia tidak berjaya dalam mujahadatunnafsi sepanjang Ramadhan yang berlalu. Maka bagi kita pula marilah kita bersyukur di pagi,ini kerana pintu taubat masih terbuka untuk kita. Rayakan Aidil Fitri ini dengan bertaubat sebanyak-banyak taubat. Kemudian sembahyang, berdoa, berzikir, tasbih, tahmid dan takbirlah sebanyak-banyaknya. Bolehlah bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan saling berziarah tapi jangan sampai berketawa ria dan berpesta menjamu selera hatta berpoya­-poya. Semuanya itu sangat menggemuk dan merangsangkan nafsu untuk lebih menuhani kita.

Moga-moga nafsu kita tidak berpeluang untuk melalaikan dan menipu serta menjauhkan kita daripada Allah SWT. Selama ini kita kononnya sudah sedar, sudah ingin membaiki diri kerana itu kita rela meninggalkan maksiat-maksiat lam. Tapi kemanakah kita pergi sebenarnya? Jawabnya, kita lari dari satu dosa kepada dosa lain. Dari kejahatan lahir kepada kejahatan nafsu amarah dan lauwamah yang mana kejahatan dan keburukannya lebih dahsyat lagi. Ertinya kita belum selamat lagi. Kita belum jumpa dan belum tempoh lagi jalan jalan ke syurga yang mana jalannya penuh ranjau dan duri mengait, seperti sabda Rasulullah: Di kelilingi Neraka oleh perkara-perkara yang digemari nafsu. Dan di kelilingi Syurga oleh perkara yang dibenci.

Memang mujahadatunnafsi itu adalah pahit, susah dan payah sekali. Nilai kesusahannya adalah sepadan dengan nikmat syurga yang maha lazat dan manis. Maka hendaklah kita mencuba dan berlumba-lumbalah untuk merebut peluang istimewa ini.

Mulai hari ini marilah kita berjuang dan berperang. Berjuang untuk membentuk diri dengan tiga kekuatan. Kekuatan jiwa, kekuatan mental dan kekuatan fizikal. Inilah senjata untuk kita memerangi musuh utama kita, iaitu nafsu dan syaitan. Peperangan ini adalah peperangan paling besar kata Rasulullah. Jauh lebih besar dan dahsyat dari peperangan Badar. Yang mana kalaulah kita berjaya menewaskan kedua-duanya, musuh-musuh lahir seperti Yahudi, Nasrani dan Komunis dan Sekularis ini akan menjadi mudah untuk dihadapi. Kita bangunkan kembali iman dan ukhwah dan keselarasan di kalangan ummah. Inilah kekuatan asas bagi masyarakat atau jemaah. Kemudian kita perjuangkan tegaknya kebahagiaan masyarakat iaitu barisan pembesar dan penguasa yang adil. Ulama yang mendidik dan memberi nasihat kepada umat. Si kaya yang pemurah, jadi bank kepada masyarakat. Si miskin yang redha dan sabar, tidak meminta-minta dan mencari. Rakyat dan pengikut yang taat. Suami yang bertanggungjawab. Isteri yang malu dan suka berkhidmat. Anak-anak yang patuh. Gadis-gadis yang sangat menjaga maruah dan pemuda yang beri tenaga untuk membangunkan masyarakat.

Kita usahakan agar semuanya dilakukan kerana cinta pada Allah dan ingin mencari keredhaanNya. Seterusnya kita perjuangkan pula agar tertegaknya pembangunan, ekonomi, kenderaan dan alat-alat perhubungan dan apa-apa juga keperluan dan kemudahan hidup sebagai alat dan keselesaaan hidup ummah.

Kalaulah sempat kita melakukan itu semua, iaitu membina kekuatan, kebahagiaan dan alat kemudahan ummah, maka perjuangan kita akan menghala kepada terbentuknya satu rupa masyarakat yang tidak ada di mana dan bila-bila sebelum ini, kecuali di zaman Rasulullah dan salafussoleh. Waktu itu Islam akan dipuja dan dijunjung kembali oleh manusia sedunia. Dunia yang sunyi dari peperangan, pergaduhan, perpecahan dan sebarang kejahatan. Dan moga-moga kita kembah menjadi tuan-tuan dan penguasa-penguasa di bumi seperti mana datuk nenek kita iaitu para salafussoleh yang pernah menjawatnya dulu. InsyaAllah. Moga-moga jadilah kita hamba-hamba yang Allah redhai, yang layak menduduki SyurgaNya.

FirmanNya: Allah Taala telah berjanji kepada orang lelaki mukmin dan orang perempuan mukmin iaitu syurga yang mengalirnya di bawahnya sungai-sungai hal keadaan mereka kekal di dalamnya dan juga tempat tinggal yang baik di dalam syurga Jannatul Naim. Keredhaan Allah itu adalah lebih besar dan itulah dia kemenangan yang maha besar. (Surah At Taubah: 72)

Monday 11 June 2012

Peringatan Untuk Kaum Wanita

بسم الله الرحمن الرحيم




Dipetik dari Kitab Muhimmah karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathoni 1384 Hijrah.
Diceritakan oleh Sayyidina Ali RA.; Adalah pada suatu hari masuk aku ke dalam rumah Nabi SAW. dan ada sertaku isteriku, Siti Fatimah RA. Maka tatkala aku dekat dengan pintu, maka sabda Nabi SAW.


"Siapa yang dipintu itu?"
Maka sahut Siti Fatimah;
"Kami dengan suami kami, Ali. Hamba datang untuk menghadap engkau ya Rasulullah". Maka tatkala Rasulullah membuka pintu bagi kami, tiba-tiba kami dapati akan Nabi hal keadaannya menangis akan sebagai tangis yang sangat. Maka kataku (Sayyidina Ali RA.) baginya; "Penebusmu [adalah] aku, engkaulah bapaku dan ibuku Ya, Rasulullah. apakah yang menyebabkan engkau menangis?"

Maka sabda Rasulullah SAW.;
"Bahawa sesungguhnya telah aku lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan daripada umatku di dalam siksa yang amat sangat. Maka sangatlah salah pekerjaan mereka itu., kerana itulah yang menyebakan aku menangis kerana keadaan mereka yang tersangat siksa". Berkata Sayyidina Ali RA.;"Ya, Rasulullah, bagaimanakah engkau lihat akan keadaan mereka itu?"

Maka sabda Rasulullah SAW.;
Telah aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya; dan Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; dan Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dengan dua kakinya pada hal terikat lagi terlipat dan telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang lalu dilumurkan minyak tanah pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya; dan

Aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya. (Ada pun buah zaqqum itu adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit dan apabila memakan mereka itu akannya, nescaya menggelegak (mendidih) segala isi perut mereka itu, dan otak dan gusi mereka itu dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka itu) dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung pada hal memakan ia akan daging dirinya manakala api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ekor ular dan kala hak keadaannya memakan ia (ular dan kala) akan dagingnya dan meminum ia(perempuan) akan darahnya; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu. Di dalam kerongkongnya api neraka pada hal keluar otak daripada kepalanya dan lagi mengalir ke dalam hidungnya dan segala badannya itu amat busuk lagi berputar-putar (menggelupur) seperti terkena penyakit yang besar; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapan hingga ke belakang daripada segala anggota dengan gunting api neraka; dan

Aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam segala mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya;dan lagi

Aku lihat seorang perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atas nua itu beribu-ribu warna daripada azab; dan

Aku lihat pula seorang perempuan atas rupa anjing dan api neraka itu masuk daripada bawah duburnya dan keluar daripada ia{api} daripada mulutnya dan segala malaikat itu memukul mereka itu akan kepalanya dan badanya dengan pemukul api neraka.

Kata Sayyidina Ali RA;
Maka berdirilah Siti Fatimah RA. kepada Nabi SAW. lalu berkata;

"Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan olehmu apa dosa-dosa mereka itu hingga jatuh atas sekelian mereka itu dengan berbagai-baga siksaan itu?"

Maka sabda Nabi Sallahu Alaihi Wasallam.;

Ada pun perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; maka bahawa sesungguhnya ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang haram memandang dia,

Dan adapun perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya; maka bahawa sesungguhnya ia menyakiti akan suaminya.

Dan adapun seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya; maka sesungguh nya ia memberikan air susu suaminya [kepada bayi yang
lain] dengan tiada izin suaminya.



Dan adapun perempuan yang yang tergantung dengan dua kakinya di dalam kerongkongan api nereka itu; maka bahawa sesungguhnya ia keluar rumah dengan tiada izin daripada suaminya.

Dan adapun perempuan yang tergantung dan memakan ia akan tubuhnya dan api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya; maka bahawa sesungguhnya ia memperhiasi tubuhnya kerana orang lain dan
tiada memperhiasi bagi suaminya.

Dan adapun perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ekor ular dan kala hak keadaannya memakan ia(ular dan kala) akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya; bahawa sesungguhnya ia di dalam dunia tiada hendak bersuci badannya dan tiada hendak mandi junub dan haid dan daripada nifas dan meringan-ringan akan sembahyang.

Dan adapun perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu. yang di dalam kerongkongan api neraka; maka bahawa sesungguhnya ia mendatangkan daripada anak zina dan ditambatkan kepada batang leher suaminya. (perempuan yang menduakan suaminya hingga mendapat anak zina dan dinyatakan anak itu adalah hasil daripada suaminya).

Dan adapun perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai; maka sesungguhnya ia sangat mengadu-ngadu (adu domba / batu api) lagi amat dusta.

Dan adapun perempuan yang seperti rupa anjing dan api masuk ia ke dalam mulutnya dan keluar ia daripada duburnya; maka bahawa sesungguhnya ia adalah sangat membangkit akan manusia(mengungkit-ungkit pemberian atau pertolongan) lagi banyak dengki mendengki..

SEMOGA MAMPU MEMBERIKAN PERINGATAN KEPADA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT SEKELIAN.
Allahu A'lam


Monday 21 May 2012

Doa-doa Amalan Seharian


Apakah doa yang anda baca sebelum memberi salam dalam solat?



Atau anda tidak pernah berdoa ketika itu?



Sekiranya anda tidak pernah mengamalkannya maka anda tersangat rugi kerana waktu itu merupakan waktu doa yang mustajab dan merupakan amalan Nabi saw sepanjang hidupnya. Sangat banyak doa-doa yang dibaca oleh baginda saw selepas tasyahhud dan sebelum salam. Berikut adalah doa-doa tersebut :



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،

وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال

1.Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan fitnah dajjal.[Imam Muslim]



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ



2.Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang.[Imam al-Bukhari]





اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

3. “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari bakhil, aku berlindung kepadaMu dari penakut, aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlin-dung kepadaMu dari fitnah dunia dan siksa kubur.[Imam al-Bukhari]



اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.

4.“Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan ibadah yang baik untukMu.[ Abu Dawud dan al-Nasa’ie]



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ ، وَمِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ



5.Ya Allah! Aku berlindung daripada kejahatan yang telah aku lakukan, dan daripada kejahatan lakukan.[al-Nasa’i]



اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا

6.Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.



اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ



7.Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku sendiri. Tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah diriku dengan keampunan yang Engkau miliki. Rahmatilah aku. Sesungguhnya Maha Pengampun dan Penyayang.[Imam al-Bukhari]



اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ



8.Ya Allah! Aku memohon kepada Mu. Ya Allah Yang Maha Esa Yang… Yang Tidak Melahirkan dan Tidak Dilahirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, Engkau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang.[Imam Abu Dawud]





اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ ، وَمَا أَسْرَفْتُ ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي ، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

9. Ya Allah! Ampunilah aku untuk apa yang telah aku (lakukan) di masa lalu dan apa yang akan aku (lakukan) di masa hadapan, apa yang aku (lakukan) secara tersembunyi dan apa yang aku (lakukan) terang-terangan, apa yang telah aku berlebih-lebihan, dan apa-apa yang lebih Engkau ketahui berbanding diriku sendiri. Engkaulah Yang Mendahului dan Engkaulah Yang Mengakhiri. Tiada yang berhak disembah melainkan Engkau.[Imam Abu Dawud]





اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ



10.“Ya Allah! Sesungguhnya aku mo-hon kepadaMu, agar dimasukkan ke Surga dan aku berlindung kepadaMu dari Neraka.[ Abu Dawud]



Semoga kita dapat mengamalkan doa-doa nabi saw ini dalam setiap kali solat…Insya Allah Ta’ala.

Tetamu Terakhir......




BISMILLAH...

Tahukah anda bahawa kita semua pasti akan dihadiri oleh seorang tetamu terakhir yang istimewa?

Siapakah tetamu terakhir yang akan mengunjungi kita nanti? Kenapa dia menziarahi kita dan bilakah kehadirannya?

Ketahuilah! dia datang bukan kerana inginkan harta kita atau ingin menikmati hidangan lazat bersama kita atau menuntut hutangnya atau meminta bantuan tenaga kita.Itu semua bukan maksud kehadiran tetamu terakhir ini.
Tetamu ini datang untuk satu urusan penting yang telah ditetapkan. Anda dan keluarga anda malah seluruh penduduk bumi ini tidak akan mampu menggagalkannya dalam misinya tersebut.

Walaupun anda tinggal di istana-istana yang tinggi, berlindung di benteng-benteng yang kukuh dan di menara-menara yang kuat, dikawal dengan ketat, anda tidak dapat menghalang kunjungannya.

Untuk menemui kita dia tidak perlu pintu masuk atau meminta izin atau membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang. Ia akan datang bila-bila masa dan dalam keadaan apapun; ketika kita sedang sibuk ataupun lapang, ketika sihat ataupun sakit, ketika kaya atau fakir, ketika musafir atau pun menetap di tempat kita!!

Tetamu terakhir ini tidak memiliki hati yang lemah. Ia tidak akan terpengaruh oleh ucapan, tangisan atau jeritan atau sahabat-sahabat yang menolong kita. Ia tidak akan memberi ruang kepada kita walau sekejap pun untuk menangguhkan ‘urusan’ yang dibawa olehnya.

Kalau pun kita berusaha memberinya hadiah atau cuba untuk menyogoknya, ia tidak akan menerimanya sebab seluruh harta itu tidak bererti apa-apa baginya. Dia tetap akan menyelesaikan tugas yang dibawa olehnya.

Sungguh! Ia hanya menginginkan diri kita sahaja, bukan orang lain! Ia ingin kematian dan mencabut nyawa kita ! siapakah tetamu terakhir ini?

Dia ialah MALAIKAT MAUT!!!

Allah s.w.t berfirman, artinya:

"Katakanlah, ‘Malaikat Maut yang ditugaskan untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kita; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kita akan dikembalikan." (Al-Sajdah: 11)

Dan firmanNya, artinya:

"Sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kita, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya." (Al-An'am: 61)

Kunjungannya adalah rahsia. Kehadirannya adalah tiba-tiba. Ketibaannya pasti dirasai oleh kita semua. Persiapkanlah diri kita dengan iman yang murni dan dengan amal soleh yang sebanyak-banyaknya agar tiada penyesalan, tangisan dan penderitaan yang akan menimpa kita bila tiba masa ketibaan tetamu terakhir ini.

WALLAHU TA’ALA A’LAM

Kenapa Jalan Syaitan Jadi Pilihan?




AbuAqil



Allah Yang Maha Penyayang telah menganugerahkan nikmat penglihatan, pendengaran dan nikmat akal agar kita dapat mencari dan mengikuti jalan yang diredaiNya mengikut panduan yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah nabi saw. Allah dengan sifat PemurahNya juga telah menjelaskan juga bahawa syaitan ialah musuh yang sebenar-benarnya. surah Fatir, ayat 6 :



Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.



Bukan sekali Allah memberi peringatan seperti ini dalam al-Quran. Malah berkali-kali diulang untuk memperingatkan manusia yang serba lemah. Namun kenapa masih setia menjadi pengikut syaitan?. Kenapa sukar benar untuk membuka mata hati dan menggunakan akal berfikir seketika akibat bersahabat dengan syaitan. Atau anda memang bercita-cita untuk bersama musuh utama itu di dalam neraka?. Na’uzubillah…



Tubuh badan anak adam ini diciptakan bukan untuk dibakar dan dipanggang dalam api neraka. Tetapi untuk mendiami syurga Allah. Kerana kita adalah warga syurga. Datuk kita Nabi Adam a.s dan Hawa berasal dari syurga. Kenapa kita enggan untuk kembali ke tempat asal kita itu? sesungguhnya Allah terlalu sayang kepada kita untuk mencampakkan ke dalam neraka lebih sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Sabda Nabi saw :



“Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan Muslim)



Allah mengingini kita dimasukkan ke dalam syurga. FirmanNya di dalam surah al Baqarah, ayat 221 bermaksud:



‘Mereka (orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga dan keampunan dengan izinNya’.



Namun kenapa manusia seolah-seolah berlumba-lumba terjun ke lembah neraka? Perintah Allah dan Rasul diabaikan. Amat mudah untuk ditinggalkan solat fardu tanpa ada penyesalan sedikitpun. Jauh sekali untuk melakukan amal-amal sunat yang lain sepertir solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan seumpamanya.



Larangan dan cegahan Allah juga yang giat dilaksanakan. Mendedahkan aurat, bergaul bebas lelaki dan perempuan tanpa batasan dan seumpamanya benar-benar berleluasa pada masa kini. Pergaulan bebas inilah sebenarnya senjata syaitan yang utama untuk menyesatkan anak adam. Sehingga yang bertudung litup pun berkepit ke hulu ke hilir dengan ‘ suami’ yang tidak berakad tanpa rasa malu. Menipu ibubapa telah menjadi rutin untuk bertemu dengan buah hati. Akhirnya perut membuncit tidak berbapa. Ketika itu barulah teringat kepada Allah Rasul, dosa pahala dan terbayangkan ibu dan bapa.



Ingatlah! Jangan sekali-kali memilih jalan syaitan kerana ia akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan akhirat. Jangan menjadi hamba hawa nafsu yang merupakan tentera-tentara syaitan untuk meramaikan temannya di dalam neraka kelak. Tingkatkanlah ilmu, amal dan iman untuk menghadapi musuh utama ini. Semoga Allah merahmati kita dan memimpin kita ke jalan yang diredaiNya.

Benarkah Sebaik-baik Jin Sejahat-jahat Manusia


Beberapa hari lepas saya terbaca status di facebook yang mengatakan ' Sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin'. Adakah ini fakta atau kenyataan tanpa sandaran?. Artikel ini menjelaskannya.



-----------------------------------------------



Oleh : ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ


Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.



Firman Allah ;

janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

(Al-Araf :27)

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan yang terlalu umum "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka di dalam Al-Quran. Mereka ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam Al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Sekiranya kenyataan "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.

Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka.

Firman Allah:

"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?")

(Al-An'am : 130)



Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir al-Razi). Kisah mereka ini boleh didapati di dalam Al-Quran.



Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap Al-Quran. Baginda pernah membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, Al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (Al-Isabah fi Ma'rifat aAl-Sahabah).

Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia.

Firman Allah SWT:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik."(Al-Rum : 41-42)

Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini terus berlaku.