Sunday, 20 May 2012

Hati Dan Ubatnya

بسم الله الرحمن الرحيم


Rasulullah s.a.w berpesan kepada Abdullah bin Umar : "Jadikanlah (hidupmu) di dunia ibarat seorang tamu atau pengembara yang sedang singgah di tengah perjalanan." (Riwayat Bukhari)..

Ramai orang lalai melayan perasaan sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan keluar..Ubat bagi penyakit ini ialah kesabaran.

Sedar atau tidak ramai di antara kita tidak mempunyai ketenangan hati. Ini kerana mereka mencari ketenangan tidak pada sumbernya. Di anggapnya harta memberi ketenangan, maka diburunya harta, akhirnya harta itu jugalah yang merungsingkannya. Diburunya pangkat, disangka pangkat memberi ketenangan padanya, rupanya, dengan pangkat, lagi tidak tenang, ...lantaran takut pangkatnya hilang.

Inilah manusia. Allah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Allahlah pemilik ketenangan dan Dia hanya memberikannya pada hati orang yang beriman. Mari kita renung, kesilapan mencari tenang dan bagaimanakah ubatnya.

1. Ramai orang mencari ketenangan dengan sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka melihat keaiban orang lain, tidak redha. tidak bersyukur dan sebagainya, tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada sifat mazmumah itu ketenangan. Ubat bagi hati seperti ini ialah dengan menanam dan menyuburkan sifat mahmudah

2. Ramai orang mencari ketenangan dengan melakukan maksiat seperti bergaul lelaki perempuan, mendengar muzik dan sebagainya. tetapi hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada maksiat itu mendatangkan ketenangan. Ubat bagi sikap seperti ini ialah dengan menggantikan setiap maksiat dengan ketaatan

3. Ramai orang mencari ketenangan dengan memperbanyakkan harta yang tidak tahu apakah sumbernya, hakikatnya, Allah tidak menjadikan pada harta yang haram itu mencukupkan. Ubat bagi hati tamakkan harta sehingga terlibat dengan yang haram ialah dengan mencari dan berusaha kepada harta yang halal

4. Ramai orang merasa puas jika bersikap bongkak dengan manusia. Jika dia berpangkat, boleh tengking orang, boleh arah orang dengan kasar dan dia seolah-olah rasa puas sedangkan Allah tidak akan menjadikan pada kesombongan itu kemuliaan. Ubat bagi penyakit ini ialah melatih hati supaya sentiasa tawadhuk.

5. Ramai orang lalai melayan perasaan sedihnya sedangkan Allah tidak menjadikan pada putus asa itu jalan keluar. Ubat bagi penyaki ini ialah kesabaran

6. Ramai orang yang cuba mencari kepuasan dengan dunia, dicubanya berbagai aktiviti supaya hatinya puas sedangkan Allah tidak menjadikan pada cinta dunia itu kepuasan, ubat bagi hati yang demikian ialah memperkukuhkan hati mencintai Allah. Dua cinta tidak akan duduk di dalam satu hati. Jika seorang telah mencintai dunia, maka cinta Allah payah ingin dirasakan.

7. Ramai orang yang merasa puas jika dia marah-marah sedangkan Allah tidak menjadikan pada marah itu hikmah. Ubat bagi hati dan lidah yang marah ialah menanamkan cinta akhirat. Dengan demikian, rasa tidak puas hati pada dunia akan kurang.

Demikianlah beberapa keadaan hati dan ubatnya, semoga memberi manfaat kepada kita semua, amin.

Pandangan Manusia Keindahan Dunia

Allah swt itu Maha indah dan Dia suka kepada yang indah. Begitu juga dengan ciptaan Allah, terlalu banyak keindahan jika dihayati dengan sebaik mungkin. Dengan flora dan faunanya, dengan planet dan bintangnya, dengan bahan-bahan galiannya dan macam-macam lagi. Tetapi persepsi manusia melihat kepada keindahan tersebut berbeza-beza. Sebagai contoh, ada yang suka kepada bunga ros, tetapi bagi manusia yang lain ada yang tidak sukakannya. Dan begitulah seterusnya selera manusia ini berbeza dalam menentukan keindahan sesuatu benda.

Mana mungkin manusia itu mempunyai selera dan citarasa yang sama 100%. Sudah tentu tidak kerana walau bagaimana pun akan ada juga perbezaan walaupun sedikit. Cuma di sini saya ingin menyentuh soal keimanan. Iaitu beriman kepada Allah, Tuhan pencipta alam ini. Bagi mereka yang beriman, sudah pasti meyakini bahawa alam yang indah ini adalah ciptaan Yang Maha Mencipta. Tetapi tidak semua akan memandang kepada ciptaan Allah ini akan sentiasa menghayati dan memuji penciptanya kerana keindahan tersebut. Di situ lah bezanya tingkatan iman seseorang. Seseorang yang mempunyai iman yang tinggi akan sentiasa merasakan kehadiran pencipta apabila melihat apa sahaja makhluk.

Maka kita disunatkan untuk membaca doa memuji Allah apabila melihat kepada keindahan alam ini. Doa tersebut yang maksudnya , “Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini sia-sia, Maha Suci Engkau jauhkanlah kami dari azab neraka”. Di sini lah letaknya maksud yang tersirat di sebalik kata-kata mengingati Allah di mana sahaja kita berada. Dan kerana itu juga lah Nabi Muhammad S.A.W. mengajar kita agar berfikir tentang kejadian yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Berfikir tentang makhluk adalah merupakan satu ibadah yang ada ganjarannya. Dan ianya juga termasuk dalam bab berzikir.

Ketahuilah bahawa segala puji-pujian adalah layak bagi Allah dan Allah sangat suka dipuji. Kerana itu lah dengan memuji Allah kita akan dapat pahala. Manusia juga suka dipuji, apa lagi Tuhan yang telah mencipta alam ini. Dan Allah sangat suka orang-orang yang suka memujiNya. Manakala orang yang malas atau tidak mahu memuji Tuhan adalah orang yang sombong dengan Tuhannya. Banyak dalil-dalil yang menggalakkan kita memuji Allah, antaranya;

“Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi dan mengadakan gelap dan terang, namun orang-orang yang kafir mempersekutukan (sesuatu) dengan Tuhan mereka.”
( Surah AL An’am : Ayat 1)

“Dan katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah yang tidak mengambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.”

(Surah AL Isra’ : Ayat 111)

“Segala yang di langit dan bumi menyanjung Allah. Kepunyaan-Nya Kerajaan, dan kepunyaan-Nya puji-pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu.”

(Surah At Taghaabuun : Ayat 1)

“Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah, Dia Yang Kaya, Yang Terpuji.”

(Surah Luqman : Ayat 26)

“Dia Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan.”

(Surah Al Qasas : Ayat 70)

Dan teramat banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang memuji Allah dan menggalakkan agar memuji Allah. Menunjukkan betapa pentingnya memuji Allah dan membesarkanNya, alhamdulillah.

Yang penting adalah selalu menghubungkan kepada Allah apabila melihat makhluknya. Kerana manusia yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan sememangnya akan memandang keindahan dunia ini semata-mata keindahan. Tanpa menghubungkannya terus dengan pencipta Yang Maha Bijaksana. Ini lah bezanya pandangan antara orang yang tidak beriman dengan orang yang beriman. Orang yang tidak beriman juga tahu menilai seni pada makhluk, tetapi sayang dia tidak tahu menghargai pencipta kepada seni tersebut malah tidak meyakini bahawa adanya pencipta.

Manakala orang-orang yang beriman, sedikit sebanyak akan menghargai pencipta makhluk itu. Bezanya hanya pada selalu atau kadang-kadang atau jarang-jarang. Orang yang imannya tinggi dan hatinya selalu berdamping dengan Allah akan selalu menghubungkan secara terus apabila melihat makhluk kepada Allah. Dan orang-orang yang imannnya tidak berapa tinggi akan ada masa-masa atau fasa-fasa tertentu dalam memuji Allah apabila melihat makhluk. Yang biasanya jika ada peristiwa pelik atau besar sahaja akan dipuji. Manakala apabila melihat sesuatu yang biasa, maka ianya pun merasakan seperti tiada apa-apa.

Sedangkan jika kita sentiasa menghayati alam ini, setiap sudut ciptaan Allah ini bernilai seni. Cuma ramai yang tidak perasan dan memerhatikannya. Cuba lah anda ambil satu kamera dan cuba mengambil gambar. Tetapi anda mesti berimaginasi sedikit lah, nescaya anda akan nampak betapa setiap sudut di dunia ini mempunyai unsur-unsur seni yang tidak ternilai dan semua itu tidak lain dan tidak bukan melainkan kesenian dari pencipta segala sesuatu.

Ada juga sesuatu yang nampak di luar adalah suatu yang buruk, tetapi apabila sudah diproses menjadi gambar dan diedit sedikit maka akan menjadi suatu yang indah. Maka di situ menunjukkan bahawa sesuatu yang buruk itu tidak semestinya buruk semata-mata, bahkan boleh menjadi indah jika kena pada caranya. Sama lah juga keadaannya pada manusia , seseorang yang kurang cantik sedikit rupanya tidak semestinya buruk semuanya, malahan ada yang lebih cantik hati dan pekertinya dari manusia yang cantik paras rupanya. Malah ada juga manusia yang cantik rupanya tetapi amat buruk perangai dan hatinya.

Kesimpulannya, Allah Maha Mencipta dan alam ciptaanNya ini sungguh indah dan unik sekali. Maha Suci Engkau ya Allah Tuhan sekelian alam. SubhanAllah……. :)



Kita banyak berfikir hal keduniaan, tetapi kita tidak mengingati

kepada yang lebih agung iaitu Allah…yang mencipta seluruh kejadian di

muka bumi ini. Kita banyak memikirkan ciptaan Allah s.w.t tetapi….

Kita lupa kepada penciptaNya.

Islam Pada Nama


Alhamdullilah. Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi dapat bersama hari ini. Apa-apa pun saya harap kita semua semakin hari semakin mendalam ilmu kita kepada ajaran Islam.

Alhamdulillah, selepas Solat maghrib, diadakan slot Tazkirah di Masjid An-Nahdah Shah Alam. Alhamdulillah, saya hari itu yang sudah maklum akan program pengisian ini bersedia dengan sekeping kertas yang dilipatkan dalam poket baju melayu dan sebatang pen.

Sememangnya zaman sekarang ini sudah terbalik, kebanyakan kita yang menghadiri Majlis Ilmu datang dengan tangan kosong, dan tokguru / ustaz yang datang ingin memberi kuliah itu membawa kitab. Kalau zaman tok nenek kita dulu, tokguru datang dengan sehelai sepinggang, dan para pendengar sekalian bersiap sedia dengan kitab rujukan / buku nota.

Zaman sudah berubah... kesedaran untuk menuntut ilmu kurang, kita sekadar datang untuk mendengar, itupun kebetulan pihak masjid mengisi ruang-ruang antara maghrib dan isyak dengan Kuliah Agama. Kalau tak ada, mungkin kita lebih suka berbual atau menonton televisyen di rumah dari menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid.
Berbalik kepada program tazkirah sesudah Solat maghrib tadi, saya kongsikan sedikit ilmu yang sempat saya catatkan, sebagai peringatan untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri. Itulah pentingnya kita yang menghadiri majlis ilmu ini bersedia dengan buku nota dan pen, catatan itu dapat kita simpan dan boleh kita membacanya kembali, kalau harapkan ingatan kita saja untuk mengingati segala ilmu yang disampaikan, rasanya tak sampai 2,3 hari, maklumlah kita manusia ini sifatnya pelupa, ditambah lagi dengan kita mendengar dan melihat perkara-perkara lagha di televisyen, akhbar, semua yang bermanfaat hilang begitu sahaja.
Antara tazkirah yang disampaikan :

Seorang mualaf yang baru memeluk Islam. Terharu apabila beliau menceritakan detik-detik beliau terbuka pintu hati untuk memeluk agama Islam.

Beliau muda juga orangnya. Nak dekat 30. Alhamdullilah. Tetapi hari ini saya nak berkongsi sedikit pengajaran dan pengalaman beliau…

Apa yang saya nak ceritakan pada hari ini, kita yang lahir telah atau secara automatiknya menjadi Islam diatas kertas tidak begitu berbangga dan bersyukur kerana kita dianugerahkan agama Islam kepada kita.

Pada diri kita, janji kita tahu mengucap, tahu sebut nama Allah dan Nabi S.A.W, solat sekadar yang kita mampu itu sudah mencukupi kerana kita langsung tidak mahu membincangkan dan memikirkannya.

Bagaimana perasaan anda apabila orang yang berbangsa cina atau india yang baru memasuk Islam dan dapat menghayati Islam lebih baik dari kita dan satu hari dia menyoal kita sesuatu perkara dan kita tidak dapat menjawabnya?

Pernahkah anda terfikir bagaimana perasaan kita diwaktu itu? Adakah hati kita akan diam begitu sahaja? Atau adakah hati kita akan merasa malu kerana orang yang baru memeluk Islam itu lebih pandai agamanya berbanding diri kita yang telah Islam sejak lahir TETAPI satu ilmu pun tidak ada?

Soallah hati anda? saya begitu sedih apabila sahabat mualaf semalam berceritakan alangkan bertuahnya anak-anak melayu yang sejak lahir telah memeluk Islam sedangkan dirinya baru terima Islam pada lewat 20an.



Alangkan bagusnya jika dia memeluk Islam sejak lahir lagi seperti diri kita anak-anak melayu? itulah sebahagian kata-katanya yang membuatkan saya tersentak dan terharu serta sedih apabila memikirkan bahawa banyak anak-anak melayu sebenarnya leka dengan pentas duniawi ini.

Beliau banyak berbicara mengenai Islam. Seronok juga dapat mengetahui dari hati beliau dan bagaimana terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam. Salah satu sebab beliau memasuk Islam adalah kerana beliau ingin mencari TUHAN? Beliau mengkaji kesemua agama yang ada di negara ini. Dari satu agama ke satu agama sehinggalah beliau terjumpa dengan salah satu ayat Al-Quran yang betul-betul terbuka pintu hatinya iaitu surah Al-Ikhlas...

Bismillahhirrahmanirrahim :
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyanyang.

Qulhuwallahhuahad :
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

Allahhussamad :
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

Lamyalidwalamyulad :
Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan.

Walamyakullahukufuwanahad :
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Pada waktu ini cubalah anda meneliti kenapa beliau begitu tertarik pada ayat diatas sehingga dia memeluk Islam? Fikirkanlah dan renungkanlah sejenak!

Kesimpulan

Islam adalah cara hidup kita secara menyeluruh. Dari cara berbahasa, berpakaian, makanan, beri nama anak, cara berurus-niaga, perkahwinan dan sebagainya. Sedar atau tidak kita sering diperhatikan oleh orang bukan Islam. Niat kita mengamalkan sesuatu perlu sentiasa kerana Allah... dan secara tidak langsung menunjukkan ciri-ciri istimewa sebagai seorang yang bergelar muslim ini kepada orang lain. Kita orang Islam beruntung, ada panduan Al-Quran dan sunnah peninggalan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sudah hampir tiba suatu masa di mana tidak ada yang tinggal pada ISLAM kecuali namanya sahaja dan tidak tinggal pada AL-QURAN kecuali tulisannya sahaja. Masjid-masjid mereka tersergam indah, namun kosong / roboh dari petunjuk. Ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kulit langit dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali."

Yang BARU terbuka hati dengan Islam, apakah agaknya hati mereka tentang Islam.

Selalu kita dengar mualaf cakap;

"Saya syukur kenal Islam sebelum kenal orang Islam. Barangkali saya tidak peluk Islam kalau kenal orang Islam sebelum kenal Islam."

Subhanallah!

Kadang-kadang ada juga terfikir...orang yang dilahirkan dalam agama Islam pun agak payah untuk menjiwai Islam. Tapi, mualaf yang baru memeluk agama Islam... menjiwai agama Islam seperti dari kecil dia dah mengetahui keindahan Islam...rasa terharu, dan harap-harap jiwa dan minda saya akan terus sentiasa menjiwai dan mencintai agama Islam yang indah...

Mulakan Islam Dari Diri Kita

Untuk meningkatkan komitmen kita terhadap Islam, banyak yang mesti kita lakukan. Langkah berikut merupakan beberapa langkah dasar yang patut dilaksanakan:

1.Meningkatkan pengetahuan Islam secara sempurna dan menyeluruh:Perlulah memahami ilmu tentang Allah, Rasul dan al-Quran. Untuk melahirkan keyakinan dan kekuatan iman mustahil diperolehi tanpa pengetahuan terhadap apa yang diimani. Ertinya, tahap keimanan, banyak ditentukan oleh tahap pemahaman seseorang.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran."(Surah az-Zumar ayat 9)

Oleh itu sebagai seorang Muslim ilmu pengetahuan mengenai Islam yang asas dan menyeluruh perlulah dipelajari dan difahami supaya kefahaman kita bukanlah berdasarkan ikutan semata-mata. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna. Dewasa ini umat Islam hanya memahami secara serpihan yang terpisah-pisah dan tidak difahami secara satu sistem hidup.

2. Memperbanyakkan amal soleh dan mempertingkatkan ketaatan.

3. Zikir dan fikir: Zikir adalah mengingati Allah beserta sifat-sifat-Nya, kebesaran-Nya dan membaca kitab-Nya; sehingga hati selalu berhubung dengan Allah s.w.t.



Jika kita susah ke masjid di waktu usia muda... dikhuatiri lagi susah kita ke masjid di waktu usia tua... jangan bertangguh untuk beramal... dan jadikanlah seluruh bumi ini masjid untuk kita beribadah....


Marilah Membaca Al-Quran

Bermula dari awal surah al-fatihah, al-baqarah dan seterusnya sehingga surah al-nas. Bukan sekejap untuk sekali khatam. Ia memakan masa berbulan-bulan malah boleh jadi bertahun. Bukan banyak pun yang dibaca, memadailah dengan satu hizb atau semuka lebih setiap kali baca. Kerana amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang berkekalan walau pun hanya sedikit. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang berkekalan walau pun sedikit. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)


Setiap insan sememangnya sibuk dengan urusan masing-masing dan mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk merehatkan minda daripada kepenatan setelah sehari suntuk bekerja.

Ada orang menggunakan masa yang ada dengan bersukan, membaca akhbar, majalah, novel, melayari internet, bersosial di alam maya menggunakan facebook yang merupakan kegilaan ramai pada masa kini dan lain-lain aktiviti.

Namun perlu diingatkan jangan kerana kesibukan dan keasyikan kita dengan hobi tertentu menjadikan kita lupa untuk membaca dan memahami isi kandungan al-Qur’an. Sesungguhnya ketenangan dan ketenteraman dapat diperoleh dari Al-Qur’an.

Hal ini berdasarkan firman Allah, “Ingatlah hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Qs. ar-Ra’d: 28)

Dari Abdullah bin Mas’ud radiallohu ‘anhu Rasulullah saw bersabda,

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.” (Shahih HR.Tirmidzi)

Dan bahkan, iri terhadap mereka yang telah mengamalkan Al-Qur’an, dibolehkan. Dari Ibnu Umar radiallohu ‘anhu yang meriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wassallam bahwasannya beliau bersabda,

“Tidak berlaku iri kecuali terhadap dua orang, seseorang yang dianugrahi Alloh Al-Qur’an lantas dia mengamalkannya sepanjang malam dan sepanjang siang dan seseorang yang dianugerahi Allah harta lantas dia menginfakkannya sepanjang malam dan sepanjang siang.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Selain itu terdapat permisalan yang baik bagi yang membaca Al-Qur’an, karena Rasululloh pernah bersabda, “Permisalan seorang muslim yang membaca Al-Qur’an bagaikan buah jeruk, baunya wangi dan rasanya lezat, sedangkan orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an bagaikan buah kurma yang tidak ada baunya dan rasanya manis. Permisalan orang munafik yang membaca Al-Qur’an bagaikan kemangi yang baunya wangi rasanya pahit, sedangkan orang munafik yang tidak membaca al-Qur’an bagaikan labu yang tidak ad wanginya dan rasanya pahit.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Begitu banyak dan besar kelebihan yang disediakan untuk sesiapa yang membaca al-Quran berdasarkan beberapa hadis di atas.

Wahai saudaraku, bacalah al-Quran setiap hari sebagaimana anda dapat berikan masa kepada hobi kesukaan anda. Jangan sampai waktu kita tidak ada sedikitpun ruang untuk membaca Al-Qur’an. Berusahalah, walaupun hanya sekejap. Jangan kita menyesal tak sudah bila usia kita yang pendek ini berakhir dengan dijemput Malakul maut. Semoga Allah memberi kekuatan iman dan bimbinganNya agar kita semua dapat melaksanakan amal soleh yang utama ini...amiin.

Abu Aqil Adnan

Kisah Ajaib Ashabul Kahfi


Abu Aqil Adnan Ishak



Dalam al-Quran Allah SWT merakamkan banyak kisah-kisah yang pelik dan mengkagumkan sebagai tanda kekuasaan dan keagunganNya . Salah satu daripadanya ialah kisah ashabul kahfi yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun. Surah al-kahfi menceritakan kegigihan pemuda-pemuda yang berusaha memelihara keimanan mereka. Firman Allah :



“ Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan Kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; Kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, Sesungguhnya Kami kalau demikian telah mengucapkan Perkataan yang Amat jauh dari kebenaran".( Surah al-Kahfi :14)



Pada awalnya mereka beriman secara senyap-senyap tanpa diketahui oleh kaum mereka. Mereka menjalani kehidupan dalam masyarakat yang menyembah berhala dengan diperintah oleh raja zalim yang akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menganut agama selain agamanya yang batil.



Pemuda-pemuda ini kekal beribadat kepada Allah SWT dengan agama Nabi Isa a.s sehinggalah rahsia keimanan mereka terbongkar. Maka raja mengancam akan merejam mereka sehingga mati sekiranya mereka tidak menganut agama menyembah berhala.



Mereka berbincang untuk mencari jalan selamat daripada dibunuh oleh raja yang zalim itu. Salah seorang daripada mereka mencadangkan agar mereka mengasingkan diri dengan bersembunyi di sebuah gua yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Mereka bersetuju dan keluar menuju ke gua tersebut dalam keadaan mereka berdoa kepada Allah agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan mempermudahkan semua urusan mereka.


(ingatlah) tatkala Para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada Kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi Kami petunjuk yang Lurus dalam urusan Kami (ini)." ( Surah al-Kahfi :10)



Allah SWT memudahkan urusan mereka dengan melapangkan lubang gua serta menempatkan pintunya di sebelah utara, sehingga tidak terkena sinar matahari sama ada baik ketika terbit atau ketika terbenam, dan mereka tertidur dalam gua di bawah penjagaan serta perlindungan Allah SWT selama tiga ratus sembilan tahun. Firman Allah SWT ;



17. dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka ke sebelah kanan, dan bila matahari terbenam menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. itu adalah sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Allah. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, Maka Dialah yang mendapat petunjuk; dan Barangsiapa yang disesatkan-Nya, Maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya.



18. dan kamu mengira mereka itu bangun, Padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka.



Kemudian Allah SWT membangkitkan mereka dari lena yang panjang. Salah seorang diutus agar pergi ke Bandar untuk mendapatkan makanan dengan membawa beberapa wang perak. Mereka berpesan agar menjaga rahsia dan jangan memaklumkan kepada sesiapa perihal mereka kerana takut akan mengancam agama mereka. Firman Allah :



19. dan Demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka sendiri. berkatalah salah seorang di antara mereka: sudah berapa lamakah kamu berada (disini?)". mereka menjawab: "Kita berada (disini) sehari atau setengah hari". berkata (yang lain lagi): "Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berada (di sini). Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa uang perakmu ini, dan hendaklah Dia Lihat manakah makanan yang lebih baik, Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia Berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun.



Bila tiba di bandar dia mendapati suasana yang jauh berbeza dengan suasana yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Dia bertanya penduduk di situ tentang ahli keluarganya dan sahabat-sahabat tetapi mereka tidak mengenalinya.



Lebih memeranjatkannya dia mendapati penduduk di situ beriman, beramal soleh dan bertakwa dengan mengabdikan diri kepada Allah dan tidak mensyirikkanNya. Sungguh ajaib.

Kemudian dia dibawa berjumpa dengan raja pada masa itu yang juga beriman kepada Allah SWT. Dia menceritakan kisahnya dan teman-temannya dengan panjang lebar. Maka raja tersebut memuliakannya dengan setinggi-tinggi penghormatan.



Kemudian dia pulang kepada teman-temannya dan menceritakan peristiwa yang dialaminya. Mereka berasa bimbang perkara itu akan menyebabkan mereka disembah dan diagungkan oleh orang ramai sepertimana yang berlaku kepada Nabi Isa a.s. Oleh itu mereka berdoa memohon kepada Allah agar dicabut roh-roh mereka. Maka Allah memakbulkan doa mereka.



Orang ramai yang datang untuk berjumpa dengan mereka mendapati mereka semua telah meninggal dunia di gua tersebut. Mereka berbincang untuk membina bangunan agar boleh dilawati dan ada yang mencadangkan agar dibina sebuah masjid agar dapat beribadat kepada Allah di situ. Maka mereka membina sebuah masjid dan menulis nama-nama Ashabul kahfi padanya. Firman Allah SWT :



21. dan demikian (pula) Kami mempertemukan (manusia) dengan mereka, agar manusia itu mengetahui, bahwa janji Allah itu benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya. ketika orang-orang itu berselisih tentang urusan mereka[877], orang-orang itu berkata: "Dirikan sebuah bangunan di atas (gua) mereka, Tuhan mereka lebih mengetahui tentang mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka berkata: "Sesungguhnya Kami akan mendirikan sebuah rumah peribadatan di atasnya".



Pengajaran daripada kisah ashabul kahfi :



1- Tanda kekuasaan dan kudrat Allah tiada batasan dan sempadan.



2- Menetapkan akan berlakunya hari kiamat dan hari kebangkitan.



3- Kewajipan menjaga iman dan Islam.



4- Hanya kepada Allah tempat bergantung dan memohon pertolongan.



5- Digalakkan mengasingkan diri daripada bergaul dengan orang ramai yang fasik dan boleh

menyebabkan agama terfitnah.



6- Bermesyuarat dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian sesuatu masalah.



7- Berhati-hati dan berwaspada daripada ditimpa bahaya.



8- Allah SWT membantu hambaNya yang bertawakkal dan berharap kepadaNya.



9- Diharuskan berjual beli dengan menghantar wakil.



10. Berwaspada agar terselamat dan bebas dari syirik dan khurafat sama ada berlaku kepada diri sendiri atau orang lain.



11. Amalkan doa yang dibaca oleh Ashabul kahfi iaitu :



رَبَّنَاآتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا



Wahai Tuhan Kami, berikanlah rahmat kepada Kami dari sisiMu dan sempurnakanlah bagi Kami petunjuk yang lulus dalam urusan kami



Semoga kisah yang ajaib ini dapat merangsang iman kita dan dapat memotivasikan diri agar sentiasa komited dengan iman dan Islam. Berusaha dan tekadkan pergantungan hanya kepada Allah SWT dalam segala urusan. Insya Allah, jalan penyelesaian akan ditemui.



Sumber : Qasas al-Quran Min Adam a.s Ila Ashab al- Fil, Doktor Muhammad Bakr Ismail, Darul Manar, 1997.

Kita Masih Ada Masa...



AbuAqilAdnan



Dengan peruntukan modal selama 24 jam sehari, kita :


- Ada masa untuk bermesra dan berhibur bersama ahli keluarga



- Ada masa untuk berehat untuk menghilangkan penat lelah setelah mencari rezeki



- Ada masa untuk lepak bersama kawan-kawan,



- Ada masa untuk menonton tv



- Ada masa untuk mendengar muzik dan lagu



- Ada masa untuk membaca akhbar,majalah, novel




- Ada masa untuk mengadap komputer ‘online’ berjam-jam tanpa disedari



- Ada masa untuk tidur berjam-jam pada siang hari kerana tiada apa yang perlu dilakukan



- Ada masa untuk pelbagai hobi yang digemari





NAMUN MALANGNYA ANDA…



Tiada masa untuk membaca al-Quran walaupun seketika sedangkan al-Quran itu :



1 - Sumber petunjuk



Firman Allah :



“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa ( Surah al-Baqarah,ayat 2)



2 - Penawar dan pemberi rahmat



Firman Allah : “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. ( Surah al-Isra’ :82)



3 - Sumber keberkatan hidup



“Dan ini (al-Qur’an) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang penuh keberkatan, membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya.” (Surah al An’aam: 92)



4 - Pelajar dan pengajarnya adalah insan terbaik



“Sebaik-baik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.( Imam al-Bukhari)



5 - Pemberi syafaat agung di akhirat.



Sabda Nabi saw : Bacalah al-Quran, sesungguhnya dia datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat untuk tuannya.( Imam Muslim)



6 - Mendengarnya dapat rahmat Allah



Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204)



7 - Membaca satu huruf dibalas sepuluh pahala.



Rasulullah saw bersabda,

“Barang siapa yang membaca satu huruf dari Al-Qur’an maka baginya kebaikan sepuluh kali lipat, aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, Mim satu huruf.”
(Imam al-Tirmizi)



8- Akan membela pembacanya dan mendakwa sesiapa yang mengabaikannya.



Sabda Nabi saw : al-Quran akan menjadi hujjah bagi kamu (pembela) atau hujah ke atas kamu(pendakwa) ( Imam Muslim)



9 - Mengangkat dan merendahkan martabat



Nabi saw bersabda ; Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.( Hadith Riwayat Muslim )



10 - Orang yang membaca dengan susah-payah dapat ganjaran dua kali ganda pahala



Sabda Nabi saw :



“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )



Begitu banyak keutamaan al-Quran yang telah dijelaskan oleh Allah dan RasulNya. Namun :



- Kenapa kita masih alpa dan mengabaikannya?



- Tidak rasa bersalahkah anda kerana tidak membacanya walaupun satu ayat dalam sehari?



- Apakah alasan anda di akhirat kelak? Sibuk? Tiada masa? Tidak pandai? lupa?



- Adakah alasan tersebut akan diterima dan anda dimaafkan begitu sahaja?



Ketika masa masih ada dan berbaki, Belajarlah, bacalah, fahamilah dan amalkanlah al-Quran sebelum kita ditalqin dan dibaca al-Quran oleh orang lain.

Dimana Al-Quran Dalam Kehidupan Kita



Di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita seharian?

Kupasan tajuk yang ringan namun menginsafkan. Bila dikoreksi kembali, sejauh manakah kebersamaan hidup kita ini dengan al-quran.

Skop membaca ini masih kecil jika dibandingkan dengan mengamalkannya. Secara logiknya, kalau membaca pun kita tidak dapat buat, apatah lagi untuk mengamalkannya?

Saya sering memuhasabah, dan apa yang saya dapat lihat ialah hari ini dalam tidak sedar kita sering silap dalam meletakkan prioriti sesuatu perkara. Kalau ditanya, boleh atau tidak kita membaca majalah, sudah tentu jawapannya boleh. Bagaimana pula dengan membaca al-quran? apatah lagi!

Tetapi, kita lebih berminat untuk membaca majalah. Hari ini, kita seharusnya koreksi kembali, bahawa salah satu punca kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di muka bumi adalah disebabkan tiadanya jiwa atau roh Islam itu sendiri.

Jiwa kita kosong bahkan ianya diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Contohnya, membaca majalah-majalah hiburan, menghabiskan masa ke program-program maksiat seperti konsert-kensert artis yang terang-terang telah melanggar batas-batas syara’, realiti yang tidak dapat disangkal lagi.

Perkara ini jelas menginsafkan saya. Apa tidaknya, kalau kita sanggup berkorban masa untuk perkara-perkara yang sia-sia atau lebih teruk lagi kepada perkara-perkara maksiat yang sudah tentu mendapat kemurkaan Allah s.w.t mengapa tidak kita berkorban saja masa kita untuk membaca al-quran. Ianya adalah satu sumber untuk kita mendapatkan kekuatan dari aspek kerohanian. Iya! kekuatan rohani.

Mungkin kemampuan kita tak dapat menandingi orang-orang terdahulu seperti imam As-Syafei yang mampu mengkhatamkan al-quran sebanyak dua kali sehari. Lebih mengkagumkan ialah beliau menghabiskannya di dalam solat pada bulan puasa. Subhanallah!

Hari ini kita nak baca satu ayat pun kadang-kadang susah bahkan tidak terdetik lansung dalam hati ini ada niat untuk membacanya, Nauzubillah min zalik. Kalau kita menunaikan tanggungjawab kefardhuan solat lima waktu masih lagi bernasib baik, tapi bagaimana kalau solat fardhu pun kita tidak tunaikannya. Satu ayat bahkan satu huruf pun kita tidak menyebutnya.

Inilah salah satu amalan atau cara hidup muslim yang sebenar disamping menunaikan tanggungjawab yang lain. Mungkinlah jika hendak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang lain, tak dapat untuk dibandingkan sekiranya kita mengharapkan habuan material semata-mata.

Maka, di sinilah tahap keimanan dan kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah diuji. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Bila disebut soal ganjaran atau kelebihan maka orang yang selayaknya untuk menerima ganjaran itu sudah tentu orang yang berbuat kebaikan.

Dan kelebihan orang yang bersama-sama dengan al-quran telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda menyeru kepada kita semua supaya membaca al-quran kerana dengannya ia akan memberikan syafaat kepada kita di hari akhirat nanti.

Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberitahu bahwa sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-quran akan diganjari dengan satu kebaikan dan setiap kebaikan itu diganda dengan sepuluh kebaikan. Begitulah kasihnya Allah swt terhadap hambanya.

Namun, oleh sebab hati kita sudah diikat dengan habuan dunia, maka kita lupa bahkan seolah tidak mempercayai janji-janji Allah itu, hasilnya, hidup kita jauh dengan al-quran.

Persoalannya : adakah ianya ada dalam pemikiran kita tika ini? Astaghfirullah!!! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi maha penyayang.

Sebenarnya tiada alasan untuk kita umat Islam lari daripada menunaikan tanggungjawab kita terhadap al-quran, kalau membaca itu sudah kita anggap berat apatah lagi untuk mengamalkannya. Alasan tidak pandai membaca bagi saya sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kalau nak seribu daya, kalau taknak beribu alasannya.

Inilah masalah yang sering kita hadapi bahkan ianya sudah menjadi satu penyakit yang sinonim dikalangan umat Islam. Mahu tapi ego, atau mahu tapi malu? Kalau marah orang memanggil kita tidak bijak, tapi mengapa kita tidak marah bodohnya diri kita kerana tidak mahu menjadi pandai? Fikirkan sejenak.

Tanggungjawab kita pada Al-Quran

Sekurang-kurangnya ada ayat al-quran yang kita baca setiap hari. Ini lebih baik jika dibandingkan tidak ada lansung ataupun daripada lidah kita dibasahkan dengan lirik-lirik lagu yang tidak bermanfaat.

Jika mampu sekurang-kurangnya dalam masa tiga puluh hari itu kita dapat mengkhatamkan al-quran sebanyak sekali khatam. Jika kita mampu lebih dari itu lagi sekurang-kurangnya, setiap tiga hari kita khatam seperti mana yang diceritakan agaimana Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan Ibnu Umar tentang tempoh mengkhatamkan membaca al-quran.

Kemudian dijelaskan pula bahawa kewajiban yang perlu kita tunaikan ialah mempelajari bacaan al-quran dengan betul. Inilah tanggungjawab kita dalam memperbaiki dan mempercantikkan bacaan kita.

Walaubagaimanapun, kita tidak diberatkan sehingga sesuatu perkara itu menjadi penghalang untuk kita membacanya.

Contohnya bagi orang yang lidahnya susah untuk menyebut atau membaca al-quran makanya Rasulullah s.a.w ada menyebutkan perihal orang yang sebegini dan baginda menyeru supaya untuk diteruskan membaca al-quran kerana bagi mereka ada ganjarannya juga.

Seterusnya, kita juga hendaklah terkesan dengan bacaan kita atau dengan kata yang lain ialah memerhati dan menyelami maksud-maksud setiap ayat yang kita baca. Kita boleh jadikan kisah bagaimana Saidina Umar sebagai contoh ikutan di mana beliau pernah tidak sedarkan diri selama sebulan kerana membaca syat yang berkaitan dengan azab Allah s.wt.

Hari ini, kita nak menangis pun belum tentu. Dan tanggungjawab kita yang seterusnya ialah kita hendaklah menjaga hafalan serta mengulang ayat-ayat al-quran yang telah dan pernah kita hafal.

Untuk akhirnya yang paling penting sekali ialah mengamalkan isi-isinya. Ketahuilah sesungguhnya al-quran itu boleh menjadi hujah bagi kita, tidak kurang juga al-quran juga boleh menjadi musuh kita di akhirat nanti. Nauzubillah min zalik.

Oleh sebab itulah, al-quran itu bukan sahaja untuk di baca semata-mata. Akan tetapi ianya perlu disertai dengan penghayatan serta perlaksanaan dan inilah yang menjadi kewajiban bagi kita semua.

Begitulah sedikit panduan serta peringatan yang boleh dikongsi bersama supaya kita ini tidak tergolong dikalangan orang-orang akan menyesal suatu hari nanti.

Remeh yang menginsafkan.

Begitulah realiti yang kita sedang lalui pada hari ini. Dalam tak sedar kita telah mengabaikan tanggungjawab yang asas sebagai umat Islam. Budaya hidup bersama al-quran. Mudah-mudahan kita membudayakan hidup kita dengannya, bukan kita membudayakan al-quran dengan hidup dan kehendak kita.

Islam itu yang seharusnya memerintah, bukan kita yang