Solat
adalah ibu segala ibadah, yakni ibadah rasmi dari Allah kepada hamba-hamba-Nya
seluruhnya. Ia merupakan pertemuan rasmi lima kali sehari semalam dengan Allah
Al Khaliq. Ertinya pertemuan rasmi dengan Raja yang Maha Agung, Raja bagi
segala Raja.
Jika
dalam pertemuan rasmi dengan raja di dunia ini, sesama rakyat jelatanya,
bagaimana keadaan kita? Apa yang kita rasa? Apa persiapan yang
sepatutnya?
Kita
bersihkan badan serta berwangi-wangian, berpakaian yang paling cantik dan kemas
yang selayaknya untuk mengadap raja. Kemudian pergi dengan kenderaan sampai
istana. Tiba di sana kita duduk dengan penuh tertib berhadapan dengan raja di
balai mengadap. Kita duduk dengan penuh tertib dan tawadhuk. Bahu membongkok
mata ke lantai, tidak pandang kiri dan kanan. Penuh bimbang, malu dan
takut. Tidak ada seorang yang berani bercakap-cakap dan
bersembang-sembang.
Menunggu
dengan penuh takut akan perintah raja. Apa titah raja, apa pesanan, apa
amanahnya, Dan apa nasihatnya.
Begitulah
solat, pertemuan dengan Allah SWT secara rasmi, Dia adalah Raja Segala
Raja. Raja yang mempunyai Zat yang Maha Suci daripada segala penyerupaan. Allah
yang Maha mengetahui dan Maha mendengar. Dia mengetahui segala perbuatan baik
dan buruk hamba-hambaNya. Dia mendengar segala detik hati yang tidak diketahui
makhluk-makluk yang lain.
Sepatutnya
pertemuan kita lebih serius, lebih beradab, bertertib dan takut. Di waktu itu,
kita menyediakan diri agar bersih lahir dan batin. Menunggu penyembahan itu
dengan penuh takut, malu, khusyuk, penuh rasa kehambaan. Takut dan malu hendak
bercakap-cakap dan berbual, kecuali yang ada hubungkait dengan
Allah.
Kita
menyembah, seluruh fikiran, hati dan jiwa seluruhnya tertumpu kepada
Allah. Fizikal rukuk, fikiran ikut rukuk, hati juga ikut rukuk. Fizikal
bersujud, fikiran ikut sujud, jiwa juga ikut sujud.
Waktu
berdiri dirasakan seolah-olah kita berada di Padang Mahsyar, sedangkan Allah
sedang melihat. Aduh! Kecutnya perut, menggeletar jiwa.
Di
waktu itu sepatutnya tidak ada apa yang dapat diingat, melainkan dengan sepenuh
hati jiwa raga dan fikiran hanya kepada Allah semata-mata.
Tapi
ramai manusia tidak begitu. Berhadapan dengan raja jenis manusia lebih terasa
gerun, malu dan beradab berbanding berhadapan dengan Tuhan pencipta manusia, dek
kerana manusia belum kenal Tuhan Khaliqnya, Allah SWT.
Saya
perturunkan satu kisah buat teladan dan iktibar, agar kita lebih gigih berusaha
untuk meningkatkan kualiti kusyuk dalam solat.
Seorang
ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun,
dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya
kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya
yang selalu dirasanya kurang khusyuk.
Pada
suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al Assam dan
bertanya: "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim
berkata: "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan
batin."
Isam
bertanya: "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"
Hatim
berkata: "Wudhuk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk
dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh
perkara:
1.
Bertaubat.
2.
Menyesali dosa yang telah dilakukan.
3.
Tidak tergila-gilakan dunia.
4.
Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya')
5.
Tinggalkan sifat berbangga.
6.
Tinggalkan sifat khianat dan menipu.
7.
Meninggalkan sifat dengki.
Seterusnya
Hatim berkata: "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan
menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku
sedang berhadapan dengan Allah, Syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah
kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku
seolah-olah berdiri di atas titian Siratal
mustaqim dan menganggap bahawa solat ku kali ini adalah solat
terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap
bacaan dan doa dalam solat ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud
dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam
dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."
Apabila
Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik
bila dibandingkan dengan Hatim.
Ya
Allah, permudahkanlah kami untuk mengingatimu, rukuk dan sujud kepadaMu.
Bantulah kami untuk khusyuk dalam solat kami, sepertimana
firmanMu,
قَدۡ
أَفۡلَحَ
ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
ٱلَّذِينَ
هُمۡ
فِى
صَلَاتِہِمۡ
خَـٰشِعُونَ
"Sesungguhnya
berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya." (Al Mukminun:23:1-2)
No comments:
Post a Comment