Wednesday 19 September 2012

Renungan HATI kita


Tajuk : Kenapa kita cepat melatah/ mudah marah/ sensitif bila dikritik?

Rata-rata manusia mengakui tiada yang sempurna, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, tiada yang terlepas dari salah dan silap. Namun realitinya, kebanyakan manusia memang sukar menerima/mengakui kesilapan sendiri. Inilah satu penyakit yang berlaku di kalangan kebanyakan manusia; iaitu penyakit “Merasakan diri sentiasa benar”.

Apabila ditegur kita telah melakukan kesilapan, ‘perkara ini salah’, ‘jangan buat begini’ lazimnya kita terus menjawab tanpa terlebih dahulu kita mendengar dan meneliti teguran yang disampaikan. Lazim timbul perasaan kurang senang dalam diri akan teguran tersebut. Apatah lagi jika teguran itu berkaitan dengan amalan yang telah sebati kita lakukan atau teguran itu terkena pada guru kita atau fahaman yang kita pegang. Bersabda Nabi saw:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ

“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik kesilapan adalah mereka yang bertaubat.”

(Hadits hasan diriwayatkan oleh Imam Ahmad.)


Mengapa kita cepat melenting bila ditegur? Mengapa kita terlalu sensitif dalam membincangkan isu-isu yang ditegur? Mengapa kita cepat berang hingga akhirnya menimbulkan permusuhan/bermasam muka sesama kita?

Kita sedar ilmu manusia itu serba kekurangan, boleh berlaku kesilapan. Percaturan manusia ada ketikanya benar, ada ketika tersasar. Hanya Rasulullah saw yang maksum. Namun realitinya kita bersikap seolah-olah kita sentiasa benar. Teguran yang diberikan, hujah yang disampaikan hanya didengar sebelah telinga tanpa kita perhatikan mesej yang cuba disampaikan…apakah ia benar atau tidak? Tanpa kita cuba menilai terlebih dahulu kebenaran sesuatu teguran, kita terus membangkang dan terus membangkang, membantah dan terus membantah berdasarkan kefahaman dan emosi kita tanpa kita cuba menimbangkan pro dan kontra teguran tersebut. Cuba kita hayati pesanan Rasulullah di bawah:

قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّحُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً؟ قَالَ: إِنَّ اللهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقُّ وَغَمْطُ النَّاسِ.

"Seorang lelaki bertanya (Rasulullah saw.): “Bagaimana seorang yang suka memakai baju dan kasut (yang) baik ? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan suka meremehkan orang lain.”

(Riwayat Muslim)

Mengakui kesilapan dan berusaha memperbaiki kesilapan adalah sifat yang mulia. Ia tidak merendahkan darjat. Ia tidak menjatuhkan air muka. Malah ia mencerminkan akhlak yang mulia bahawa manusia itu sememangnya makhluk yang lemah serba kekurangan, tidak sunyi dari kesilapan namun disebalik kekurangan dan kelemahan itu, ia berusaha memperbaiki dirinya ke arah yang lebih baik. Setiap masa setiap ketika ia belajar dari kegagalan, belajar dari kesilapan.

Tak salah merasa yakin kita di pihak yang benar jika sememangnya kita di pihak yang benar, sememangnya wajar kita mempertahankan kebenaran tersebut walau masyarakat sekeliling mengatakan kita salah. Namun bagaimana jika kita di pihak yang salah tapi kita merasakan kita benar?

Jika yang diperselisihkan itu berkaitan dengan urusan agama, maka berpeganglah pada apa yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah Rasul saw yang shahih. Pastikan setiap keyakinan kita, amalan ibadah kita benar-benar secocok dengan maksud Al-Quran dan pengamalan Rasulullah saw. Al-Quran itu selamanya tidak akan salah tapi pemahaman manusia tentang maksud ayat Al-Quran itu boleh disalah tafsirkan. Kerana itu perlu
kita pastikan tafsiran dari ayat Al-Quran itu benar datangnya daripada Rasulullah kerana mengikut Rasulullah itu sememangnya tidak akan membawa kepada jalan yang salah. Bagaimana untuk kita pastikan sesuatu tu betul datang dari Rasulullah? Iaitulah dengan kita mengambil riwayat yang shahih atau hasan. Tinggalkan riwayat-riwayat yang lemah atau yang menyalahi hadis-hadis yang shahih kerana diragukan benarnya ia bersumberkan daripada Rasulullah, apatah lagi jika hadit itu hadis maudhu’ (hadis palsu). kita perlu sandarkan kepada qoul ulama’ yang bersandarkan pada hujjah dan dalil yang soheh dan jelas.

Jika yang diperselisihkan itu berkaitan urusan keduniaan yang tidak menyalahi syara’ maka ambillah jalan terbaik yang mampu kita lakukan. Mungkin bagi orang lain keputusan itu tidak tepat, kurang bernas namun kita yakin inilah pilihan terbaik, maka teruskanlah. Jika kita tersilap dalam percaturan, jangan teragak-agak jangan malu untuk mengakui kesilapan dan memperbetulkan kesilapan.

Jika teguran yang diberikan benar, maka tak perlu malu untuk mengakui kesilapan kita, terima kasih atas teguran. Dan sekiranya teguran itu tidak benar, jangan kita mencemuh merendah-rendahkan orang yang menegur tapi bersikap bijaklah dalam memperbetulkan kekeliruannya.

(Ihsan b Idris. Email: ihsan.idris@yahoo.com)
Oleh : Ustaz Ihsan B Idris, Ketua Jabatan Usuluddin IPTIPs.

No comments:

Post a Comment