Untuk
apa sebenarnya kehidupan ini? Untuk apa sebenarnya kita diciptakan dan
ditempatkan di dunia ini? Dengan usia dalam lingkungan 60-70 tahun,apa
sepatutnya kita lakukan? Adakah kehidupan yang pendek ini perlu dihabiskan
dengan ‘enjoy’, berseronok, lepak-lepak dan seumpamanya? Sekiranya anda
menyangka kehidupan ini hanyalah untuk suka-suka dan main-main, anda sebenarnya
silap kerana Allah berfirman :
“Maka
apakah kamu sangka sesungguhnya Kami
menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan
dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al Mu’minun:
115).
Dalam
ayat yang lain :
“Apakah
manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa
tanggungjawab)?” (Surah Al
Qiyamah: 36)
Benar,
kewujudan kita di dunia ini bukan untuk dipersia-siakan begitu sahaja. Ada
tanggungjawab besar sebenarnya yang perlu dipikul. Tanggungjawab yang ditolak
oleh langit, bumi dan gunung-ganang sebagaimana firman Allah SWT
:
Sesungguhnya
Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka
semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan
mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia
itu amat zalim dan Amat bodoh.( Surah al-Ahzab,ayat
72)
Apakah
tugas dan amanah tersebut? tidak lain dan tidak bukan iaitu mengabdikan diri
kepada Rabb yang layak disembah. Firman Allah SWT :
“Dan
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka BERIBADAH
kepadaKu.” (Surah al-zariyat: 56)
Ibadat…Inilah
amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Kehidupan ini bukan hanya
dengan makan, minum, memuaskan nafsu, tidur, suka-suka, lepak dan seumpamanya.
Kealpaan dalam menunaikan amanah ini akan menyebabkan kita diazab oleh Allah di
akhirat kelak.
Pada
masa kini begitu ramai manusia yang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu
mengenai matlamat penciptaan dirinya sehingga leka dan tertipu dengan
keseronokan dunia yang sementara. Ibadat yang paling asas dan merupakan tiang
agama iaitu solat pun diabaikan dengan mudah. Apatah lagi amanah-amanah lain
yang lebih berat.
Ibadat
sebenarnya umum. Semua perkara yang mentaati Allah dan menjauhi laranganNya akan
menjadi ibadat. Ibadat bukan sekadar solat, zikir, membaca al-Quran dan
lain-lain. Setiap perkara yang dilakukan dengan niat kerana Allah akan menjadi
ibadat dan akan diganjari dengan pahala di akhirat.
Ingat!
Setiap insan akan dipertanggungjawabkan di akhirat terhadap apa yang dilakukan
semasa hidup di dunia. Firman Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta
pertanggungjawabkan.” ( al-Isra’:36)
Oleh
yang demikian manfaatkanlah kehidupan yang pendek ini dengan sebaik mungkin.
Jadikanlah semua aktiviti harian anda sebagai ibadat yang akan memberatkan
timbangan pahala di akhirat. Hidup yang singkat ini janganlah disia-siakan
dengan perkara yang tidak berfaedah atau perkara yang dimurkai oleh Allah
SWT.
Semoga
Allah SWT merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang
diredaiNya.
No comments:
Post a Comment