بسم الله الرحمن
الرحيم
“Beruntunglah badan. Wajahnya cantik, dipujai ramai pula!”
“Hebat sungguh dia. Sudah pakai kereta BMW…!”
“Kau dah tengok rumah dia? Dahsyat! Besar betul rumah dia. Bangga aku jadi kawan dia!”
“Kau nak tahu tak, gaji dia sekarang sudah 5 angka! Pangkat besar dia sekarang ni. Berjaya betul dia!”
“Bahagia betul dia tu kan. Asyik melancong je. Tiga bulan lepas ke Australia. Minggu lepas ke London pula”
Begitulah penilaian
manusia kepada manusia lain. Hebat, berjaya atau beruntungnya seseorang
semuanya dinilai pada rupa, wang, pangkat dan harta.
Makin cantik rupa,
makin banyak wang, makin tinggi pangkat dan makin melimpah harta, maka
berjayalah seseorang itu pada pandangan manusia. Jika tidak mempunyai salah
satu darinya, maka akan dinilailah seseorang itu sebagai orang yang rugi dan
tidak berjaya. Itulah kejayaan definisi kebanyakan manusia.
Penilaian ALLAH
`Azza wa Jalla yang merupakan TUHAN yang mentadbir dan memiliki alam seluruhnya
ini tidak begitu. ALLAH menilai manusia bukan kepada rupa, wang, pangkat atau
harta. DIA, TUHAN Yang Maha Agung menilai manusia berdasarkan iman, amalan dan
taqwa yang dipunyai oleh seseorang manusia itu.
Ciri-ciri orang yang
berjaya dan beruntung di sisi ALLAH telah disenaraikan di dalam al-Quran dalam
banyak ayat. Antaranya ialah di dalam surah al-Baqarah, ayat 2-5. Di dalam
ayat tersebut, ALLAH mencirikan orang yang berada di atas jalan hidayah ALLAH
dan berjaya ialah orang-orang yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan
dan petunjuk. Merekalah orang-orang yang bertaqwa, iaitu yang beriman dengan
sungguh-sungguh dengan hal yang ghaib, mendirikan solat, menginfaqkan sebahagian
kurniaan yang telah ALLAH berikan, beriman dengan apa yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam serta apa yang diturunkan kepada para
nabi sebelum Baginda. Mereka juga sangat-sangat yakin dengan adanya kehidupan
dan pembalasan Hari Akhirat lalu berusaha mendapat balasan yang baik pada hari
tersebut.
Di dalam surah
al-Mukminun ayat 1-11 pula, tersenarai lagi beberapa ciri orang-orang yang
berjaya untuk kita lekatkan pada diri kita. Mereka yang berjaya ialah
orang-orang yang beriman yang khusyuk di dalam solatnya, yang menjauhkan diri
mereka dari perkara-perkara yang tidak berguna, yang menunaikan zakat, yang
menjaga kemaluannya, yang menjaga amanah dan janjinya serta orang-orang yang
menjaga solatnya.
Orang-orang mukmin
yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada hal-hal yang ma`ruf dan yang
mencegah dari perkara-perkara yang mungkar juga termasuk di dalam orang-orang
yang berjaya. Hal ini telah disebut oleh ALLAH Jalla wa A`la di dalam ayat 104
dari surah ali-`Imran.
Surah al-A`la dan
asy-Syams pula menyebut orang yang beruntung pada pandangan ALLAH ialah
orang-orang yang menyucikan jiwanya dengan beriman bersungguh-sungguh kepada
ALLAH.
Dan di dalam surah
yang biasa kita baca iaitu surah al-`Asr, ALLAH `Azza wa Jalla telah menyebut
semua makhluq yang dinamakan manusia berada di dalam kerugian. Ya, semua dalam
kerugian. Yang tidak rugi ialah manusia yang beriman kepada ALLAH, yang beramal
dengan amalan yang soleh, yang nasihat-menasihati dengan kebenaran dan juga
supaya tetap dalam kesabaran.
Nah, itulah antara
ciri-ciri orang yang berjaya dan beruntung yang telah disebut oleh ALLAH Ta`ala
di dalam al-Quran. Cuba bandingkan dengan kayu ukur penilaian-penilaian
manusia.
Marilah kita
sama-sama bermuhasabah adakah selama ini kita pernah menitik beratkan penilaian
ALLAH dalam menilai diri kita? Atau adakah selama ini kita terperangkap dengan
penilaian manusia lalu berlumba-lumba menaikkan nilai rupa, wang, pangkat dan
harta untuk dinilai berjaya pada sisi pandangan manusia?
Penilaian siapakah
yang sepatutnya kita kejar dan utamakan?
Terpulanglah kepada
masing-masing. Kerana kita akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tindakan
kita. Pada Hari Akhirat nanti kita masing-masing akan dibangunkan untuk dihisab
terhadap semua perbuatan kita ketika hidup di dunia.
Jika keberjayaan dan
keberuntungan pada pandangan manusia yang kita kejar selama hidup di dunia, maka
nasib kita akan diserahkan kepada manusia-manusia itu pada Hari Akhirat nanti.
Bagaimana nasib akhir kita? Fikirlah sendiri!
Manakala jika
keberjayaan dan keberuntungan pada pandangan ALLAH yang kita kejar selama hidup
di dunia yang sementara ini, maka nasib kita akan diserahkan kepada ALLAH Yang
Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Dan sebaik-baik diserahkan urusan kita ialah
kepada ALLAH `Azza wa Jalla!
ALLAHU
A`LAM.
oleh: Shahmuzir Nordzahir
muzir.wordpress.com
No comments:
Post a Comment