AbuAqil
Allah
Yang Maha Penyayang telah menganugerahkan nikmat penglihatan, pendengaran dan
nikmat akal agar kita dapat mencari dan mengikuti jalan yang
diredaiNya mengikut panduan yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan Sunnah nabi
saw. Allah dengan sifat PemurahNya juga telah menjelaskan juga bahawa syaitan
ialah musuh yang sebenar-benarnya.
surah Fatir, ayat 6 :
Sesungguhnya
syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia
hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.
Bukan
sekali Allah memberi peringatan seperti ini dalam al-Quran. Malah berkali-kali
diulang untuk memperingatkan manusia yang serba lemah. Namun kenapa masih setia
menjadi pengikut syaitan?. Kenapa sukar benar untuk membuka mata hati dan
menggunakan akal berfikir seketika akibat bersahabat dengan
syaitan. Atau anda memang bercita-cita untuk bersama musuh utama itu di dalam
neraka?. Na’uzubillah…
Tubuh
badan anak adam ini diciptakan bukan untuk dibakar dan dipanggang dalam api
neraka. Tetapi untuk mendiami syurga Allah. Kerana kita adalah warga syurga.
Datuk kita Nabi Adam a.s dan Hawa berasal dari syurga. Kenapa kita enggan untuk
kembali ke tempat asal kita itu? sesungguhnya Allah terlalu sayang kepada kita
untuk mencampakkan ke dalam neraka lebih sayangnya seorang ibu kepada anaknya.
Sabda Nabi saw :
“Sesungguhnya
Allah jauh lebih menyayangi hamba-hambaNya dibandingkan kasih sayang
ibu ini kepada anaknya.” ( Imam Bukhari dan
Muslim)
Allah
mengingini kita dimasukkan ke dalam syurga. FirmanNya
di dalam surah al Baqarah, ayat 221 bermaksud:
‘Mereka
(orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga
dan keampunan dengan izinNya’.
Namun
kenapa manusia seolah-seolah berlumba-lumba terjun ke lembah neraka? Perintah
Allah dan Rasul diabaikan. Amat mudah untuk ditinggalkan solat fardu tanpa ada
penyesalan sedikitpun. Jauh sekali untuk melakukan amal-amal sunat yang lain
sepertir solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan seumpamanya.
Larangan
dan cegahan Allah juga yang giat dilaksanakan. Mendedahkan aurat, bergaul bebas
lelaki dan perempuan tanpa batasan dan seumpamanya benar-benar berleluasa pada
masa kini. Pergaulan bebas inilah sebenarnya senjata syaitan yang utama untuk
menyesatkan anak adam. Sehingga yang bertudung litup pun berkepit ke hulu ke
hilir dengan ‘ suami’ yang tidak berakad tanpa rasa malu. Menipu
ibubapa telah menjadi rutin untuk bertemu dengan buah hati. Akhirnya perut
membuncit tidak berbapa. Ketika itu barulah teringat kepada Allah Rasul, dosa
pahala dan terbayangkan ibu dan bapa.
Ingatlah!
Jangan sekali-kali memilih jalan syaitan kerana ia akan membawa kepada
kebinasaan di dunia dan akhirat. Jangan menjadi hamba hawa nafsu yang merupakan
tentera-tentara syaitan untuk meramaikan temannya di dalam neraka
kelak. Tingkatkanlah ilmu, amal dan iman untuk menghadapi musuh utama ini.
Semoga Allah merahmati kita dan memimpin kita ke jalan yang diredaiNya.
No comments:
Post a Comment